Husam Musa perlu dibawa masuk ke Kabinet

Iklan
Husam Musa (gambar kecil kanan) disebut sebagai calon sesuai untuk mengisi kekosongan menteri ekonomi selepas Rafizi dan Zafrul berundur - Gambar kecil kiri (Dr Rusdi Omar)

KERAJAAN Perpaduan pasca-PRU15 sedang memasuki fasa baharu yang lebih mencabar. Dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu, inflasi makanan, krisis perumahan mampu milik dan jurang wilayah yang masih ketara, Kabinet memerlukan lebih ramai menteri yang benar-benar faham ekonomi, mempunyai pengalaman mengurus dasar, GLC dan projek pembangunan di lapangan.

Kekosongan ini menjadi lebih ketara selepas Datuk Seri Rafizi Ramli meletak jawatan sebagai Menteri Ekonomi dan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz menamatkan penggal sebagai Senator, sekali gus menutup laluan beliau untuk terus berada dalam kabinet.

Iklan
Iklan

Dalam keadaan inilah, nama Datuk Husam Musa wajar dipertimbangkan secara serius untuk dibawa masuk ke dalam kabinet sebagai wakil PKR yang mempunyai kelayakan ekonomi, pengalaman pentadbiran dan rekod perjuangan politik yang tersendiri.

Husam bukan figura baharu dalam politik negara. Beliau yang dilahirkan pada 14 Oktober 1959 di Kelantan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Bachelor of Economics, BEc) dari Universiti Malaya pada tahun 1980–1983, iaitu universiti tertua dan antara yang paling berprestij di Malaysia.

Iklan

Beliau kemudian mengikuti kursus Bahasa Arab di Jordan pada tahun 1987, yang memperluas keupayaannya untuk memahami wacana ekonomi dan politik dunia Arab serta wacana Islam kontemporari.

Latar pendidikan ini menjadikan Husam seorang ahli politik yang bukan sahaja memahami teori ekonomi moden, tetapi pada masa yang sama mampu mendekati sentimen dan pemikiran masyarakat Melayu-Muslim, khususnya di Pantai Timur, dengan bahasa agama dan nilai yang mereka hormati.

Iklan

Dalam konteks kerajaan Madani yang mahu memadukan dasar ekonomi progresif dengan nilai-nilai keadilan sosial dan etika Islam, kombinasi ini amat berharga.

Pengalaman panjang Husam dalam pentadbiran kerajaan bermula di Kelantan. Selepas Pas mengambil alih pentadbiran negeri itu di bawah kepimpinan almarhum Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat, Husam menjadi sebahagian daripada pasukan teras pentadbiran.

Beliau terlebih dahulu berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar dari tahun 1990 hingga 1993, sebelum dilantik sebagai Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan dari tahun 1993 hingga 1999. Peranan ini memberinya pendedahan langsung kepada selok-belok pentadbiran negeri, proses membuat keputusan dasar dan pengurusan hubungan pusat–negeri.

Pada PRU 1999, beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen Kubang Kerian dan berkhidmat selama sepenggal sehingga 2004. Di Dewan Rakyat, beliau dikenali sebagai wakil rakyat yang aktif dan kritis, khususnya dalam isu-isu ekonomi dan tadbir urus. Pengiktirafan ke atas ketokohan beliau dapat dilihat bila beliau diberikan Anugerah Newsmaker of the Year 2003 oleh portal popular Malaysia Kini.

Selepas itu, beliau beralih ke peringkat Dewan Undangan Negeri Kelantan dan menjadi ADUN Kijang (2004–2008) serta ADUN Salor (2008–2018) menjadikannya salah seorang tokoh Pas Kelantan yang paling berpengaruh pada era Nik Aziz.

Di peringkat kerajaan negeri, Husam memegang portfolio kanan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat Negeri Kelantan bagi tempoh 2004–2008, dan seterusnya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Kelantan bagi tempoh 2008–2013.

Kedudukan ini menjadikannya “exco ekonomi” utama negeri Kelantan, dengan tanggungjawab merancang pembangunan, menyelia kewangan, kebajikan dan program pengurangan kemiskinan.

Selain itu, beliau juga pernah menganggotai Dewan Negara sebagai Senator bermula 3 September 2018 hingga 2 September 2021. Sebagai Senator dari blok Pakatan Harapan, beliau bukan sekadar membawa suara Kelantan tetapi juga memberi pandangan mengenai pembangunan seimbang antara negeri-negeri yang kurang maju seperti Kelantan, Perlis, Terengganu dan Pahang dengan negeri-negeri lain.

Pengalaman di Dewan Rakyat, Dewan Undangan Negeri dan Dewan Negara ini meletakkan beliau pada kedudukan istimewa untuk memahami hubungan antara dasar pusat dan realiti di akar umbi.

Rekod Husam dalam bidang ekonomi tidak terhad kepada perbahasan dasar semata-mata. Beliau telah diberi amanah mengemudi beberapa agensi dan GLC strategik di peringkat persekutuan.

Pertama, pada 1 Mac 2019, beliau dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), iaitu agensi persekutuan yang menguruskan jelapang padi utama di Kelantan.

Sebaik sahaja memegang jawatan, beliau memberi tumpuan kepada isu asas yang menekan pesawah, khususnya masalah kekurangan air yang menjejaskan kira-kira sepertiga kawasan KADA dan menurunkan pendapatan ribuan petani.

Fokus ini menunjukkan beliau memahami bahawa jaminan makanan (food security) bermula daripada kestabilan pendapatan golongan pesawah dan kelestarian infrastruktur pengairan.

Dalam masa yang sama, KADA di bawah pengemudiannya memperkenalkan projek perintis ladang benih padi wangi MRQ76 di Ladang Merdeka Senor, Pasir Mas.

Tanaman ini dipilih kerana beras wangi mempunyai harga pasaran yang lebih tinggi berbanding beras biasa. Dengan menggunakan kawasan seluas 10 hektar dan melibatkan kira-kira 200 pemilik tanah, projek ini dirancang untuk menghasilkan kira-kira 50 tan benih padi yang boleh menampung penanaman 380 hektar sawah.

Pendekatan ini menunjukkan cara fikir Husam yang mahu mengalihkan petani daripada hanya bergantung kepada tanaman biasa kepada tanaman premium yang menaikkan pendapatan mereka, sekali gus menyumbang kepada pengurangan kebergantungan negara kepada beras wangi import.

Kedua, pada 23 Mac 2023, Husam dilantik sebagai Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), GLC persekutuan yang memberi fokus utama kepada perumahan mampu milik.

SPNB ialah instrumen penting kerajaan untuk membantu golongan B40 dan M40 memiliki rumah, menangani projek terbengkalai dan menyusun semula ekosistem perumahan rakyat.

Pelantikan Husam ke jawatan ini menunjukkan keyakinan kerajaan terhadap keupayaan beliau memimpin entiti yang berada di tengah-tengah isu besar rakyat: pemilikan rumah.

Ketiga, mulai 1 Ogos 2024, beliau dilantik pula sebagai Pengerusi Kumpulan Syarikat TH Properties, pemaju hartanah milik penuh Lembaga Tabung Haji.

TH Properties terlibat dalam projek-projek bernilai tinggi seperti pembangunan Bandar Enstek berdekatan KLIA. Dalam kenyataan rasmi, TH Properties menyebut pelantikan Husam sebagai figura yang tepat untuk membawa syarikat ke arah yang lebih progresif dan mengangkat penjenamaan kumpulan itu sebaris dengan pemain utama industri hartanah lain di negara ini.

Ini bermakna beliau kini memegang peranan penting dalam segmen pembangunan bandar baharu dan hartanah berimpak tinggi, selain perumahan rakyat dan pembangunan agro.

Ketiga-tiga pengalaman ini – KADA, SPNB dan TH Properties – menggambarkan spektrum kepakaran Husam yang luas: daripada sektor makanan dan pesawah, kepada perumahan mampu milik dan seterusnya kepada pembangunan bandar moden dan hartanah komersial.

Husam juga dikenali sebagai pemikir dasar yang berani mengemukakan idea baharu, termasuk dalam sektor ekonomi yang sensitif. Antara contoh paling menonjol ialah cadangan beliau mengenai “marijuana kesihatan” sebagai satu komoditi bernilai tinggi untuk tujuan perubatan.

Sebagai Senator, beliau berhujah bahawa terdapat spesies marijuana tertentu yang secara semula jadinya rendah ketagihan tetapi mempunyai potensi besar dalam perubatan, khususnya rawatan kanser dan HIV.

Beliau menjelaskan bahawa ganja kesihatan ini boleh bertindak lebih tepat sasaran terhadap sel-sel yang terjejas berbanding kemoterapi tradisional yang memberi kesan keras kepada keseluruhan tubuh.

Husam juga menekankan keperluan kawal selia ketat di bawah kerangka undang-undang sedia ada, dan menolak penanaman serta penggunaan ganja secara bebas yang boleh mengancam keselamatan.

Di samping hujah kesihatan, beliau mengemukakan potensi ekonomi yang besar. Menurutnya, ganja kesihatan mempunyai nilai pasaran antarabangsa yang jauh lebih tinggi daripada tanaman tradisional, dan jika diusahakan secara terkawal oleh petani – misalnya di kawasan seperti Bachok – ia mampu meningkatkan pendapatan mereka berkali ganda berbanding tanaman lama seperti tembakau.

Idea ini selaras dengan usaha negara-negara maju seperti Kanada, Jerman dan beberapa negeri di Amerika Syarikat yang telah memulakan rangka kerja ganja perubatan.

Walaupun cadangan ini memerlukan kajian saintifik, perundangan dan syariah yang teliti sebelum boleh dilaksanakan, ia menunjukkan keberanian Husam untuk berfikir ke hadapan dan mencadangkan sumber pertumbuhan ekonomi baharu pada saat negara perlu mempelbagaikan ekonominya.

Fikrah politik Husam juga sentiada konsisten bersama agenda reformasi, keadilan sosial dan urus tadbir baik. Dalam PAS, beliau pernah memegang jawatan Naib Presiden dan dianggap antara tokoh pro-Pakatan Rakyat yang rapat dengan almarhum Nik Aziz.

Beliau lantang menegur kecenderungan kepimpinan tertentu dalam Pas yang dilihat menjalin kerjasama “belakang tabir” dengan UMNO, terutama apabila kerjasama tersebut dilihat menyeleweng daripada mandat reformasi dan perjuangan menentang kleptokrasi.

Ketegasan beliau akhirnya membawa kepada pemecatannya daripada Pas pada 6 Mei 2016 oleh Jawatankuasa Tatatertib Pas selepas didakwa melanggar beberapa peruntukan Perlembagaan parti.

Walau bagaimanapun, cara beliau menerima pemecatan tersebut dengan air mata tetapi tanpa dendam dan tetap mempertahankan hak untuk menegur pemimpin atas dasar Islam yang syumul – menunjukkan ketulusan idealismenya.

Selepas itu, beliau menyertai Gerakan Harapan Baru dan kemudiannya Parti Amanah Negara (Amanah) secara rasmi pada 30 Ogos 2016. Dalam Amanah, beliau sekali lagi diangkat sebagai Naib Presiden dan Pengerusi PH Kelantan.

Beliau berperanan menggagas formula kerjasama parti-parti pembangkang di Kelantan, dan mengatur struktur kepimpinan PH negeri dengan formula 5-4-1-1 antara Amanah, Bersatu, PKR dan DAP.

Pada 11 September 2017, Majlis Presiden PH melantiknya sebagai Bendahari PH di peringkat nasional menggantikan tempat M Kulasegaran yang dinaikkan menjadi Naib Presiden PH.

Jawatan sebagai Bendahari PH bukan jawatan kecil; ia menandakan kepercayaan penuh pimpinan tertinggi kepada integriti dan kebolehan beliau mengurus dana gabungan parti.

Selepas kejatuhan kerajaan PH akibat Langkah Sheraton, Husam menulis surat terbuka yang panjang kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam surat itu, beliau mengingatkan bahawa mandat rakyat perlu dihormati, bahawa Malaysia tidak boleh bergantung kepada seorang individu sahaja dan bahawa peralihan kuasa teratur kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sebahagian daripada janji dan perjanjian bertulis yang telah dipersembahkan kepada pengundi sebelum PRU14.

Beliau turut memberi amaran tentang bahaya pemusatan kuasa dan risiko kleptokrat kembali berkuasa jika percaturan politik tidak diurus dengan bijaksana.

Lebih jauh daripada itu, beliau mengesahkan bahawa beliau sendiri terlibat sebagai saksi dan penyedia draf perjanjian peralihan kuasa antara Dr Mahathir dan Anwar, dan menjelaskan butiran pertemuan yang melibatkan Nurul Izzah Anwar.

Tindakan ini bukan bermotifkan dendam, sebaliknya untuk memastikan fakta sejarah direkodkan secara jujur demi generasi akan datang dan demi menutup ruang manipulasi naratif yang boleh menjejaskan reputasi PH dan Anwar.

Menjelang PRU15, Husam melangkah satu lagi fasa penting apabila berpindah secara rasmi ke PKR dan dicalonkan sebagai calon PKR di Parlimen Pasir Mas, Kelantan.

Walaupun beliau tewas di kubu kuat Pas itu, keputusan PKR dan PH untuk terus menampilkan beliau sebagai calon menunjukkan kesedaran bahawa pengalaman dan kredibilitinya masih diperlukan, khususnya untuk memenangi hati pengundi Melayu-Muslim di Pantai Timur.

Selepas PRU15 melahirkan Parlimen tergantung, Husam sekali lagi tampil dengan gagasan yang bernas. Dalam suratnya mengenai konsep Jepun “kintsugi” atau tampalan emas, beliau menjelaskan bahawa tembikar mahal yang retak tidak semestinya dibuang; sebaliknya ia boleh ditampal dengan emas dan menjadi lebih berharga daripada asal.

Analogi ini digunakan untuk menggambarkan keadaan politik Malaysia yang terpecah kepada beberapa blok, tetapi masih boleh disatukan melalui kerajaan perpaduan yang stabil.

Dalam tulisan tersebut, beliau berhujah bahawa PH dengan 82 kerusi patut menjadi tonggak kerajaan manakala UMNO/BN yang mempunyai kira-kira 30 kerusi harus menjadi rakan utama bagi membentuk majoriti mudah.

Dengan cara ini, dominasi satu parti dapat dielakkan, kebimbangan terhadap DAP dapat diringankan melalui kehadiran lebih ramai Ahli Parlimen Melayu daripada UMNO dan kabinet boleh dikecilkan serta disusun secara lebih teratur berbanding gabungan terlalu rencam yang merangkumi terlalu banyak parti.

Menariknya, realiti politik hari ini – kerajaan perpaduan PH–BN yang dipimpin Anwar – hampir sepenuhnya sejajar dengan kerangka yang dibayangkan Husam. Ini membuktikan keupayaannya membaca realpolitik, menjangka arah aliran dan mengemukakan formula kuasa yang bukan sahaja idealistik tetapi juga praktikal untuk menjamin kestabilan negara.

Selepas Rafizi tidak lagi berada dalam kabinet dan Tengku Zafrul menamatkan penggal sebagai Senator, barisan menteri kerajaan perpaduan kehilangan dua figura yang selama ini sering dilihat sebagai “wajah ekonomi” kerajaan.

Dalam PKR sendiri, tidak ramai tokoh yang mempunyai kombinasi ciri seperti Husam, mempunyai kelulusan akademik dalam ekonomi, pengalaman memegang portfolio kewangan dan ekonomi di peringkat negeri, pengalaman mengemudi agensi strategik persekutuan, jaringan merentas Pas–Amanah–PKR serta komitmen yang jelas kepada agenda reformasi dan kepimpinan Anwar.

Oleh sebab beliau pernah berkhidmat sebagai Senator dan baru sepenggal memegang jawatan tersebut, Perlembagaan masih membenarkan beliau dilantik untuk penggal kedua.

Ini membuka laluan praktikal kepada kerajaan untuk melantiknya semula sebagai Senator dan seterusnya sebagai menteri, tanpa menjejaskan imbangan kerusi di Dewan Rakyat.

Pada masa yang sama, kerana beliau kini adalah ahli PKR, pelantikannya ke kabinet akan membantu memenuhi keperluan representasi PKR sebagai parti teras kerajaan perpaduan, bukan semata-mata dari sudut kuota politik, tetapi dari sudut merit dan kepakaran.

Malaysia kini memerlukan seorang menteri yang bukan sahaja mampu membaca angka dan laporan Bank Negara tetapi juga memahami realiti kehidupan pesawah, pekerja bandar, pembeli rumah pertama dan generasi muda yang mencari pekerjaan dan peluang baharu.

Negara memerlukan tokoh yang berani mencadangkan sektor-sektor ekonomi baharu seperti ganja perubatan secara terkawal, tetapi pada masa yang sama tegas mempertahankan prinsip demokrasi, peralihan kuasa yang tertib dan agenda reformasi yang menjadi janji PH kepada rakyat.

Husam mempunyai hampir semua ciri ini. Beliau ialah lulusan ekonomi Universiti Malaya, bekas Exco kanan Kelantan, bekas Ahli Parlimen dan Senator, bekas Pengerusi KADA, Pengerusi SPNB dan Pengerusi TH Properties.

Beliau pernah menjadi Naib Presiden Pas dan Naib Presiden Amanah, Bendahari PH dan kini seorang tokoh PKR yang jelas berpihak kepada gagasan reformasi dan kepimpinan Anwar.

Membawa beliau masuk ke dalam kabinet bukan sekadar memenuhi kuota PKR, tetapi merupakan satu pelaburan strategik untuk mengukuhkan pasukan ekonomi kerajaan, menarik kembali sokongan pengundi Melayu-Muslim yang pernah menyanjung Pas era Nik Aziz serta memastikan agenda reformasi PH–Anwar terus dipandu oleh seseorang yang memahami sejarah perjuangan itu dari dalam.

*Profesor Dr Rusdi Omar adalah Dekan di Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM).