Insiden Zara Qairina boleh dielak jika aduan diambil tindakan - Saksi

Iklan
Allahyarham Zara Qairina

KOTA KINABALU – Penolong Ketua Disiplin sebuah sekolah menengah agama mengakui bahawa insiden kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir, berkemungkinan dapat dielakkan sekiranya tindakan sewajarnya diambil oleh pihak sekolah selepas aduan dibuat pada Mac lalu.

Pengakuan itu dibuat oleh saksi ke-54, Nurul Syahada Ibrahim ketika menjawab soalan peguam Datuk Ram Singh dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina di Mahkamah Koroner di sini pada Isnin.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun saksi itu menegaskan dalam keterangannya bahawa beliau tidak pernah menerima aduan berkaitan gangguan buli melibatkan Zara Qairina, kecuali satu laporan gangguan seksual yang dibuat pada 14 Mac.

“Pertama sekali, kami memang tidak pernah menerima aduan mengenai Zara. Kalau perkara ini sampai kepada kami, pasti akan disiasat dengan serta-merta.

Iklan

“Namun begitu, saya dengan yakin memberitahu bahawa usrah puteri merupakan satu medium untuk kami guru disiplin bersemuka sendiri dengan pelajar puteri serta mengingatkan mereka tentang adab-adab yang perlu dipatuhi setiap masa.

“Bagaimanapun, apa sahaja yang berlaku, kami telah berusaha sebaik mungkin untuk menangani perkara ini dengan sebaiknya,” tegasnya.

Iklan

Dalam prosiding sama, beliau turut memaklumkan mengenai maklumat yang diterima ketika menemubual seorang pelajar senior, dikenali sebagai Kak M.

“Semasa saya menemubual Kak M, pelajar ini memaklumkan bahawa adiknya telah digelar, atau boleh saya katakan menjadi mangsa ‘body shaming’ dengan panggilan ‘chipsmore’ kerana mempunyai tahi lalat yang besar di atas mulut.

“Gelaran ini, menurut pelajar tersebut, diberikan oleh Zara dan Pelajar A,” dakwanya.

Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu di bawah bangunan asrama dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).