Rezeki redah banjir, kaki pancing sambar RM20,000

Iklan
Mohd Salleh (dua dari kanan) bersama para pemenang Kedah Surfcasting Challenge di Tanjung Dawai pada Sabtu.

SUNGAI PETANI - Banjir yang melanda Kelantan tidak menghalang Mohd Zuhairi Jali, 35, untuk menempuh perjalanan lebih enam jam sejauh 350 kilometer ke Tanjung Dawai, Kedah bagi menyertai Kedah Surfcasting Challenge 2025 di sini pada Sabtu.

Kecekalan meredah banjir nyata membuahkan hasil apabila dia berjaya menjinakkan seekor ikan pari seberat 1.815 kilogram (kg), sekali gus dinobatkan sebagai juara pertandingan dengan menewaskan hampir 600 peserta lain dan membawa pulang wang tunai RM20,000.

Iklan
Iklan

Tempat kedua dimenangi Mohd Haziq Mohd Jamal, 35, dari Bidong, Kedah yang menaikkan ikan malong seberat 1.235kg, manakala tempat ketiga disandang Syed Mohd Hassan Syed Ismail dari Jitra dengan tangkapan ikan belukang seberat 0.950kg.

Mohd Haziq membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, manakala Syed Mohd Hassan berpuas hati dengan RM1,000.

Iklan

Hadiah disampaikan oleh Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin.

Turut hadir, Ketua Penolong Pegawai Daerah Kuala Muda, Mohd Rinizan Razali; Pengurus Shimano (Pte Ltd) Singapura, Kelvin Yiu dan Pengasas Wakjali Event Management, Md Zali Kasran.

Iklan

Sebahagian peserta Kedah Surfcasting Challenge yang berlangsung meriah di Tanjung Dawai.

Mohd Zuhairi berkata, dia bersyukur kerana kesukaran menempuh perjalanan jauh dari Kota Bharu ke Tanjung Dawai akhirnya dibalas dengan kemenangan.

“Tanpa tiga rakan yang sama-sama berkongsi minat mendalam terhadap sukan surfcasting, saya tidak mungkin sampai ke sini,” katanya yang memandu kenderaan pacuan empat roda dari Kelantan.

Sementara itu, Mohd Salleh berkata, acara surfcasting akan diteruskan di Kedah pada 2026.

“Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, kerajaan negeri akan meneruskan acara ini. Jika tahun ini ia diadakan di Tanjung Dawai, tahun hadapan acara akan dianjurkan di Pantai Padang Garam, Alor Setar,” katanya.

Pantai Padang Garam yang baru dibangunkan dengan pelbagai kemudahan telah menjadi topik perbincangan dalam kalangan peminat surfcasting sejak beberapa bulan lalu.

Pantai tersebut belum pernah digunakan bagi sebarang pertandingan memancing dan dipercayai kaya dengan spesies belukang.

Mengulas lanjut Mohd Salleh berkata, pihaknya akan menganjurkan acara itu pada skala lebih besar agar lebih ramai peminat surfcasting dari luar Kedah dapat turut serta, sekali gus menyumbang kepada pembangunan sektor pelancongan negeri.

“Tahun Melawat Kedah juga akan diteruskan tahun depan, seiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2026,” jelasnya.