KOTA KINABALU - Pemuda dan Wanita Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) memandang serius laporan mengenai usaha membawa Barisan Nasional (BN) menyertai Kabinet kerajaan negeri Sabah susulan pembentukan kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin, Pemuda dan Wanita UPKO menegaskan bahawa perkembangan tersebut perlu diperhalusi dengan teliti demi memastikan kestabilan politik di Sabah terus terjamin.
"UPKO berpandangan bahawa struktur kerjasama yang telah dipersetujui melibatkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), UPKO, lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM), Pakatan Harapan dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star) sudah mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri yang kukuh.
"Gabungan ini bukan sahaja mencapai majoriti selesa, malah turut menggambarkan kehendak rakyat Sabah yang mahukan kesinambungan kestabilan politik," katanya.
Pemuda dan Wanita UPKO turut mempersoalkan usaha membawa BN ke dalam kerajaan negeri, terutamanya setelah kenyataan rasmi dan ucapan daripada pemimpin tertinggi BN, termasuk Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang secara jelas menyatakan pendirian mereka untuk tidak bekerjasama dengan GRS.
"Perubahan pendirian secara mendadak itu boleh menimbulkan kekeliruan dan kegusaran," katanya.
Tambah kenyataan itu lagi, Pemuda dan Wanita UPKO bimbang penyertaan BN dalam kerajaan negeri akan membuka ruang kepada ketidakstabilan politik.
"Sabah telah beberapa kali mengalami pergolakan politik termasuk ‘Langkah Kinabalu’ akibat perubahan sokongan dan percaturan kuasa, dan keadaan sebegini sewajarnya dielakkan pada masa ini.
"Rakyat mahukan kepimpinan yang tegas, konsisten dan tidak berkompromi terhadap kestabilan negeri," katanya.
Pemuda dan Wanita UPKO menegaskan bahawa setiap rundingan pembentukan kerajaan perlu mengambil kira faktor keserasian dasar dan komitmen semua parti dalam gabungan.
"Kemasukan mana-mana parti yang masih mempamerkan pendirian tidak selari atau kontroversi demi kepentingan kuasa semata-mata boleh mengganggu tumpuan pentadbiran baharu yang sedang cuba dibina.
"Dalam konteks ini, kami menyeru agar Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menolak sebarang cubaan membawa BN ke dalam Kabinet negeri pada waktu yang begitu sensitif ini.
"Keputusan tegas ini akan memberikan isyarat jelas kerajaan negeri benar-benar mengutamakan kestabilan, kebolehpercayaan dan keharmonian politik demi rakyat," tegasnya.
Pemuda dan Wanita UPKO juga mengingatkan semua pihak untuk mengelakkan sebarang permainan sentimen politik yang boleh meningkatkan ketegangan dan perpecahan dalam masyarakat.
Jelasnya, Sabah memerlukan pemimpin yang matang, bukan mereka yang mengutamakan percaturan politik sempit.
"Kami menggesa Ketua Menteri untuk mempertahankan integriti dan keutuhan kerajaan negeri dengan menolak sebarang usaha membawa BN ke dalam Kabinet Sabah.
"Demi masa depan negeri ini, kepentingan rakyat mesti terus menjadi keutamaan mengatasi kepentingan politik mana-mana parti," tegasnya.