Spa songsang salah guna lesen perniagaan - Zaliha

Iklan
Laporan Sinar Harian baru-baru ini berkaitan serbuan premis yang menawarkan aktiviti hubungan songsang. Gambar kecil: Zaliha

KUALA LUMPUR - Penyalahgunaan lesen perniagaan yang dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjadi punca kewujudan premis yang menjalankan aktiviti songsang susulan penahanan 201 lelaki dekat Chow Kit, Jumaat lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, kelulusan sesuatu lesen adalah berdasarkan permohonan rasmi yang dikemukakan oleh peniaga berkenaan.

Iklan
Iklan

"Biasanya apabila ada permohonan lesen, apa yang kita berikan adalah lesen mengikut apa yang mereka tuliskan dalam paper (dokumen)... contohnya kalau dikatakan lesen untuk pembukaan spa, kita benarkan.

"Masalahnya adalah kadang-kadang kita beri lesen, tapi aktiviti yang dilakukan selepas daripada itu adalah di luar kawalan kita, itu yang kadang-kadang kita jumpa aktiviti-aktiviti yang selain daripada apa yang telah mereka mohon dalam lesen tersebut," katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai peranan agensi JPM di Wilayah Persekutuan untuk memantau, melesenkan dan mengawal premis spa supaya tidak disalah guna.

Dr Zaliha berkata, operasi penguatkuasaan DBKL dijalankan berdasarkan pemantauan berkala dan aduan yang diterima sekali gus berjaya membongkarkan pelbagai kesalahan termasuk kegiatan tidak bermoral itu.

Iklan

Beliau menjelaskan bahawa terdapat jawatankuasa dikenali sebagai 'KL Strike Force' yang ditubuhkan untuk mengambil tindakan sewajarnya mengikut aduan.

"Dalam jawatankuasa itu, kita bekerjasama dengan agensi lain termasuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sebagainya.

"Ia bergantung kepada mana agensi yang akan bertanggungjawab untuk ambil tindakan selanjutnya," katanya.

Media melaporkan kegiatan sebuah pusat spa dan kesihatan yang disyaki menjadi lokasi lelaki songsang berkumpul serta melakukan aktiviti tidak bermoral terbongkar dalam serbuan pihak berkuasa, Jumaat lalu.

Dalam serbuan itu, premis tiga tingkat itu turut menyediakan bilik khas 'dark room' untuk pengunjung melampiaskan nafsu.