KOTA KINABALU - Pemuda Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyatakan pendirian tegas mereka menolak sebarang gesaan dengan Barisan Nasional (BN) yang ingin menyertai Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Plus yang dipimpin Datuk Seri Hajiji Noor.
Pemuda Gagasan Rakyat dalam kenyataan berkata, kerajaan GRS Plus telah pun melepasi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri dengan komposisi semasa sebanyak 41 kerusi.
"Komposisi melibatkan GRS sebanyak 29 kerusi, Bebas (lima), UPKO (tiga) Pakatan Harapan (PH) dan KDM masing-masing satu kerusi, selain mendapat sokongan daripada STAR sebanyak dua kerusi.
"Selain itu, kedudukan kerajaan akan bertambah kukuh dengan pelantikan enam enam Ahli Dewan Undangan Sabah Dilantik, sekali gus memastikan kestabilan pentadbiran negeri di Dewan Undangan (DUN) Sabah," katanya pada Isnin.
Kenyataan itu turut berkata, bahawa komposisi wakil rakyat dalam kerajaan GRS Plus pada ketika ini adalah kukuh, stabil dan mencukupi untuk meneruskan agenda pembangunan negeri tanpa memerlukan sebarang penambahan daripada pihak yang telah ditolak oleh rakyat.
"Keputusan pengundi wajib dihormati. Rakyat Sabah telah memberikan isyarat yang jelas dengan menolak BN daripada berada dalam kerajaan negeri, dan sebarang cubaan untuk menafikan kehendak rakyat disifatkan tidak wajar.
"Pengalaman lalu perlu dijadikan pengajaran. Langkah-langkah sumbang politik yang berlaku pada tahun 2023, yang turut digerakkan oleh BN, tidak seharusnya berulang kerana ia telah menggugat kestabilan politik dan keyakinan rakyat.
"Tambahan pula, BN sendiri secara terbuka sebelum ini enggan bekerjasama dengan GRS, malah telah melancarkan serangan politik yang luar biasa terhadap GRS serta kepimpinan Ketua Menteri.
"Maka, adalah tidak wajar kini mereka tampil dengan tuntutan untuk disertakan dalam kerajaan," tegasnya.
Sehubungan itu, Pemuda Gagasan Rakyat menegaskan bahawa fokus utama kerajaan ketika ini adalah memastikan kestabilan politik, memperkukuh pentadbiran serta mempercepatkan agenda pembangunan demi kesejahteraan rakyat Sabah, bukannya melayani percaturan politik yang tidak berlandaskan mandat rakyat.