JOHOR BAHRU – Seorang anggota tentera berpangkat Leftenan Kolonel dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan meminta suapan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap kegiatan penyeludupan rokok di perairan Johor Selatan sekitar Oktober 2022 lalu.
Tertuduh, Kamarulzaman Ali, 53 yang bertugas sebagai Ketua Cawangan Rancang dan Kempen Gerak Saraf Perang Saraf di Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia, bagaimanapun mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah warung di Teluk Ramunia, Pengerang, Kota Tinggi, Johor.
Mengikut pertuduhan, Kamarulzaman didakwa telah meminta suapan berjumlah RM1,500 bagi setiap ‘trip’ pendaratan rokok seludup di kawasan berkenaan.
Suapan tersebut dipercayai sebagai dorongan untuk tertuduh tidak melaporkan dan tidak mengambil tindakan terhadap kegiatan penyeludupan rokok yang sepatutnya menjadi tanggungjawabnya sebagai seorang penjawat awam.
Oleh itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan, sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Atirah Mohd Azuarizanuddin manakala tertuduh diwakili peguam S. Sangkari.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia serta melapor diri sebulan sekali di Pejabat SPRM Kuala Lumpur.
Selain, mahkamah turut membenarkan kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Jenayah SPRM Kuala Lumpur memandangkan tertuduh juga telah didakwa di mahkamah berkenaan pada 31 Oktober lalu.