Calon SPM di Perak pindah pusat peperiksaan akibat banjir, tanah runtuh

Iklan
Khairudin ketika menjawab soalan tambahan Jason Ng sempena Sidang DUN Perak pada Isnin. Foto Urusetia Dewan Negeri Perak

IPOH – Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dari empat sekolah di Perak terpaksa dipindahkan ke pusat peperiksaan baharu selepas lokasi asal didapati tidak selamat berikutan banjir yang melanda beberapa daerah pada Isnin.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, keputusan itu dibuat selepas Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) melakukan penilaian segera terhadap keadaan semasa di lapangan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perpindahan terbesar melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Abdul Rahman Talib, Teluk Intan dengan 67 calon sekolah dan 11 calon persendirian dipindahkan ke SMK Seri Perak.

"93 calon sekolah dan 20 calon persendirian dari SMK Tun Abdul Razak, Selekoh, Bagan Datuk dipindahkan ke Dewan Masjid Tuminah Hamidi manakala 56 calon dari SMK Datuk Idris, Pantai Remis ditempatkan di SMK Pantai Remis.

Iklan

“Calon SMK Seri Kandi, Teluk Intan seramai 59 orang pula akan menduduki peperiksaan di SMK Seri Setia,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Jason Ng Thien Yeong (PH-Astaka) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Isnin.

Khairudin berkata, seramai 20 orang calon dari Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan, Pangkor juga terpaksa berpindah ke SMK Pangkor kerana keadaan bangunan ataupun cerun yang agak kritikal dan tidak selamat.

Iklan

Jelasnya, pelajar tersebut turut ditempatkan di pusat kurikulum sebagai penginapan untuk langkah-langkah keselamatan.

Mengulas mengenai kesiapsiagaan, Khairudin berkata, segala tindakan pemindahan dibuat mengikut garis panduan Op Payung, melibatkan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), JPN, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta agensi penyelamat seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pejabat daerah.