ROMPIN – Seorang pengawal keselamatan maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas sendiri sebelum tercampak ke dalam parit di laluan dari Ladang Sungai Kembar menghala ke Gate 1 Tanjung Gemok, pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi melibatkan lelaki berusia 45 tahun.
Iklan
Iklan
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah Ladang Sungai Kembar menuju ke Gate 1 Tanjung Gemok sebelum hilang kawalan dan terbabas sendiri lalu tercampak ke dalam parit berhampiran lokasi kejadian.
"Susulan kejadian itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih dijalankan.
Sehubungan itu, Sharif Shai menasihatkan orang awam agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya.
Jelasnya, sebarang maklumat berkaitan kemalangan boleh disalurkan mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.