KUALA LUMPUR – Pelakon dan aktivis, Rafidah Ibrahim antara empat individu ditahan pihak polis selepas disyaki cuba menganjurkan perhimpunan bagi mencetuskan kekecohan dan mengganggu keamanan semasa Majlis Pecah Tanah di Kampung Sungai Baru, di sini pada Ahad.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, penahanan keempat-empat individu itu dibuat pada jam 8.50 pagi selepas pihak polis menerima maklumat berhubung perhimpunan yang dijadualkan pada jam 8.00 pagi di lokasi sama.
"Kesemua suspek terdiri daripada seorang lelaki Melayu, seorang lelaki India dan dua wanita Melayu berusia antara 39 hingga 47 tahun.
"Semasa ditahan, mereka menjerit-jerit sehingga mengganggu ketenteraman awam di kawasan Majlis Pecah Tanah," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya, individu yang terlibat itu didakwa memuat naik seruan mengajak orang ramai turun protes di majlis berkenaan melalui laman media sosial TikTok pada 28 November lalu dengan tajuk Majlis Pecah Tanah Kampung Sungai Baru.
"Penahanan ini dibuat di bawah Seksyen 105 Kanun Keseksaan kerana suspek disyaki menjadi dalang perhimpunan tersebut.
"Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.
Menurutnya, tindakan itu adalah langkah pencegahan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam tidak tergugat.