KOTA KINABALU - Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menafikan ada membuat sebarang pertemuan dengan mana-mana pimpinan parti termasuk Barisan Nasional (BN) bagi membincangkan pembentukan kerajaan meskipun parti dipimpinnya itu memenangi 25 kerusi pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Katanya, dakwaan tersebut adalah tidak benar kerana dirinya terus berehat selepas penat berkempen sepanjang tempoh pilihan raya.
"Tak ada. Tapi saya pun dah letih, tidur dari malam tadi kerana terlalu penat berkempen berhari-hari. Saya sudah bekerja lebih empat tahun menuju pilihan raya ini. Tak ada saya jumpa dengan mana-mana parti pun.
"Kami akan berjumpa di Dewan Undangan Negeri (DUN) nanti (jumpa BN). Mana ada jumpa. Wallahi, wabillahi, watallahi saya tidak jumpa mana-mana pemimpin," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini pada Ahad.
Diminta mengulas kemungkinan kerjasama dengan parti-parti tempatan termasuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Mohd Shafie berkata, fokus Warisan adalah kepentingan rakyat Sabah, bukan semata-mata membentuk gabungan politik.
"Saya sebutkan dengan parti lokal, tidak semestinya dengan GRS," jelasnya.
Bagaimanapun, menurut bekas Ketua Menteri Sabah itu, definisi parti tempatan juga perlu difahami dengan betul dan Warisan jelas menjunjung aspirasi rakyat Sabah secara keseluruhan.
“Ia bukan suara perbezaan daripada dua parti, tetapi kehendak rakyat Sabah.”
Beliau turut mengingatkan bahawa politik Sabah tidak pernah stabil apabila gabungan dibentuk atas kepentingan sempit atau “mengisi kuota kuasa”.
"Dulu pun kerajaan GRS dengan BN tak lama. Pasal apa? Selalu ada dinamik dalam politik di negara ini dan di dunia. Kamu fikir ini akan bertahan selama lima tahun?" soalnya sambil mengingatkan bahawa ada pihak yang hanya mengejar kedudukan, projek dan wang.
Mohd Shafie menegaskan perjuangan sebenar Warisan adalah menyatukan rakyat dan memastikan suara Sabah didengari secara nasional, bukan sekadar berusaha berada dalam kerajaan.
"Kita satukan rakyat Sabah. Itu tujuan saya. Suara kita tidak seharusnya hanya didengari di Sabah, ia mesti bergema di seluruh negara," katanya.
Dalam masa sama, beliau turut berterima kasih atas sokongan besar pengundi Cina yang menurutnya menunjukkan penolakan terhadap amalan politik wang serta mengangkat nilai integriti dalam kepimpinan.