Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada Sabtu menyaksikan sokongan rakyat terhadap parti tempatan seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan) lebih tinggi berbanding parti Semenanjung.
Berdasarkan perkiraan, parti tempatan Sabah menguasai 60 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), bersamaan 82.19 peratus daripada jumlah keseluruhan kerusi.
Sebaliknya, parti Semenanjung seperti Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) hanya memenangi lapan kerusi, iaitu sekitar 10.95 peratus, sekali gus menggambarkan pengaruh yang semakin mengecil dalam politik negeri itu.
Sementara itu, calon bebas berjaya meraih lima kerusi, bersamaan 6.8 peratus, menunjukkan terdapat segmen pengundi yang memilih wakil individu berbanding parti.
Secara keseluruhan, keputusan ini memperlihatkan perubahan jelas dalam landskap politik Sabah dengan sokongan besar memihak kepada parti tempatan.
Peratusan tersebut bukan sahaja menggambarkan kekuatan akar umbi parti-parti Sabah, malah mengisyaratkan perubahan mood politik dalam kalangan rakyat yang semakin memilih parti berteraskan suara dan isu setempat.
Keputusan rasmi PRN Sabah kali ini memperlihatkan prestasi cemerlang GRS apabila parti itu memenangi sebanyak 29 kerusi DUN berbanding parti lain.
Ia diikuti Warisan yang mendapat 25 kerusi, BN (enam), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) (tiga) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) (dua).
Sementara itu, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), PH dan PN masing-masing memperoleh satu kerusi manakala Bebas menang lima kerusi.