SEPANG – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang anggota polis yang dihanyutkan arus deras dalam insiden banjir berhampiran Klinik Desa Giching di sini ditangguhkan petang Sabtu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, selepas pihaknya melaksanakan operasi SAR dengan keluasan pencarian sejauh lima kilometer, mangsa masih gagal ditemukan dan operasi ditangguhkan pada jam 6 petang, sebelum disambung semula pada Ahad.
"Pada hari kedua operasi, anggota bomba membuat pencarian secara permukaan air sejauh dua kilometer dan Unit Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA sedang melakukan penyelaman," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Ahmad Mukhlis berkata, operasi pencarian dibahagikan kepada tiga sektor.
"Sektor satu melibatkan kawasan sekitar kampung berhampiran, sektor dua di kawasan kebun kelapa sawit, dan sektor tiga dianggotai PPDA JBPM yang melakukan empat kali selaman serta pencarian menggunakan teknik search pattern di dasar tali air.
"Keluasan serta akan disambung keesokan harinya," katanya lagi.
Seramai 14 anggota bomba terlibat dalam operasi tersebut, selain bantuan daripada 25 anggota polis serta empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Pada Sabtu, media melaporkan bahawa kenderaan Perodua Bezza yang dipandu mangsa, Konstabel Muhammad Rahimi Amirudin, 23, terbabas ke dalam parit dalam kejadian pada jam 10.30 malam.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Selangor menerima panggilan kecemasan pada jam 11.30 malam, Jumaat.
Seramai 10 anggota dan pegawai bersama jentera dari BBP KLIA serta bantuan BBP Sepang bergegas ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 14 kilometer dan tiba di lokasi pada jam 12.02 tengah malam.