Optik yang kelihatan janggal

Iklan
Pasukan penguat kuasa SPRM yang lengkap dengan senjata, jaket kalis peluru dan topeng muka telah menyerbu rumah Albert di Puchong pada Jumaat. - Gambar hiasan

SELEPAS pendedahan demi pendedahan dibuat oleh seorang ahli perniagaan berhubung isu integriti melibatkan beberapa orang kenamaan, akhirnya dia ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Albert Tei sebelum ini telah mendedahkan rakaman video perbualannya dengan beberapa ahli politik di Sabah yang didakwa memberikan sumbangan kepada mereka untuk mendapatkan lesen mineral di negeri itu.

Iklan
Iklan

Pihak SPRM kemudian membuka kertas siasatan berhubung pendedahan yang dilakukan dan dia kemudian termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu berkaitan kes rasuah melibatkan lesen perlombongan mineral.

Bagaimanapun, Albert terus membuat pendedahan dan satu lagi video yang menggemparkan negara melibatkan Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri yang didakwa turut menerima sumbangan daripada lelaki tersebut.

Iklan

Ekoran daripada itu, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin meletakkan jawatan kerana tidak mahu perkara tersebut memberi kesan kepada Perdana Menteri dan menegaskan beliau akan mempertahankan dirinya.

Semalam pasukan penguat kuasa SPRM yang lengkap dengan senjata, jaket kalis peluru dan topeng muka telah menyerbu rumah Albert di Puchong dan menangkap lelaki itu.

Iklan

Kita tidak tahu apa tujuan pihak SPRM tampil dengan optik sedemikian, namun kita harap mereka ada alasan yang kuat untuk berbuat seperti itu.

Ini kerana pada pandangan mata rakyat, Albert telah mendedahkan perbuatan yang menyalahi undang-undang negara, dia dijulang sebagai 'whistle blower' atau pemberi maklumat.

Namun dalam undang-undang, tindakan seseorang memberikan sumbangan atau apa-apa hadiah dengan niat mendapatkan projek atau kontrak juga adalah satu kesalahan.

Jadi berbalik kepada tindakan yang dilakukan oleh SPRM, ia kelihatan tidak begitu baik dari segi optik terutama bagi pandangan banyak pihak dan rakyat.

Sejak dari awal lagi pendedahan-pendedahan Albert ini telah menjejaskan imej dan kredibiliti kerajaan dan suruhanjaya itu.

Dengan tindakan yang dilakukan itu ibarat menambah garam pada luka, dan nasi sudah pun menjadi bubur.

Tetapi jika kes ini melibatkan Jho Low, memang sudah sepatutnya SPRM melakukan operasi seperti itu.

Kita pasti ramai akan bertepuk tangan dan memuji kejayaan SPRM dengan tertangkapnya individu penting di sebalik skandal paling jijik dalam sejarah iaitu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Malangnya ini berbeza dengan Albert kerana dia telah 'establish' imejnya sebagai seorang 'wira' yang berjaya mendedahkan 'penjahat' walaupun dia juga adalah sebahagian daripada watak yang ada dalam 'teater' itu.

Sementara itu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dalam satu kenyataan dikeluarkan petang semalam menjelaskan Albert tidak mahu beri kerjasama.

Jadi kita tidak boleh salahkan SPRM, kerana sudah berbulan-bulan suruhanjaya itu mengambil pendekatan yang lembut dan berhemah.

SPRM tahu sebagai pemegang amanah penting menjaga integriti dan tatakelola negara mereka jadi perhatian.

Jadi lakukanlah dengan penuh profesionalisme supaya imej SPRM dapat dipertahankan dan terus dikenang selama-lamanya.

Sementara itu, kita tunggu sahaja proses mahkamah yang akan menentukan siapa yang betul dan siapa yang bersalah.

*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian