Cuaca baik bantu percepat banjir surut – MB Kedah

Iklan
Muhammad Sanusi semasa melawat PPS SK Seri Perdana di Alor Setar pada Jumaat. Foto JKM Kedah

ALOR SETAR – Situasi banjir di beberapa kawasan di Kedah kini dilaporkan terkawal apabila paras air menunjukkan tanda-tanda surut susulan keadaan cuaca yang bertambah baik sejak Khamis.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, hujan yang tidak terlalu lebat di kawasan hulu telah membantu mempercepatkan proses air surut, sekali gus memberi kelegaan kepada mangsa banjir yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Iklan
Iklan

“Tahun lepas, hujan turun serentak dengan air pasang besar, sebab itu air naik mendadak. Alhamdulillah, tahun ini tidak berlaku seperti itu.

" Kita harap cuaca kekal baik dalam sehari dua ini supaya air terus surut dan mangsa boleh pulang,” katanya ketika melawat PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Perdana di sini pada Jumaat.

Iklan

Beliau turut memaklumkan bahawa koordinasi antara kerajaan negeri dan agensi berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjalan lancar tanpa sebarang isu besar.

“Alhamdulillah, semua berjalan seperti biasa. Saya lihat JKM dan agensi lain bekerja keras, dan saya ucapkan terima kasih atas komitmen mereka,” ujarnya.

Iklan

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi menjelaskan bahawa bantuan khas untuk mangsa banjir masih belum dibincangkan atau dibawa ke dalam mesyuarat kerajaan negeri.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah berkata, seramai 4,056 mangsa banjir daripada 1,296 keluarga ditempatkan di 19 PPS di Kota Setar, Kubang Pasu dan Pokok Sena setakat jam 4 petang pada Jumaat.