FOODIE Media Bhd (Foodie Media) membuat penampilan sulung yang kukuh di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini berikutan permintaan pelabur yang teguh bagi tawaran awal permulaannya (IPO).
Sahamnya dibuka pada 35.5 sen, mewakili 5.5 sen atau 18.3 peratus premium berbanding harga IPOnya pada 30 sen, dengan 15.29 juta saham bertukar tangan.
IPOnya turut terlebih langgan sebanyak 24.63 kali ganda bagi bahagian awam iaitu 44.4 juta saham, termasuk 13.09 kali ganda bagi bahagian Bumiputera dan 36.18 kali ganda bagi baki tranche awam.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nicholas Lim Pinn Yang berkata, Foodie Media, iaitu penerbit digital, berada pada kedudukan yang baik untuk menguasai perbelanjaan pengiklanan yang semakin meningkat di platform digital, disokong oleh perubahan berterusan dalam perhatian pengguna terhadap media sosial dan mudah alih.
"Kami komited untuk meningkatkan kehadiran kami di semua platfrom ini dengan mewujudkan lebih banyak nilai bagi khalayak kami dan menyampaikan kempen yang lebih kukuh untuk pelanggan.
"Dengan peralihan daripada media tradisional kepada digital yang semakin pantas, kami menyasarkan untuk terus menyediakan perkhidmatan yang berkualiti tinggi dan berkesan,” katanya pada sidang media bersempena IPO tersebut.
Beliau berkata, kumpulan pelanggan syarikat itu termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat dan agensi pengiklanan.
"Menjelang tahun 2026, tumpuan kami ialah memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan supaya kami boleh menyokong belanjawan pengiklanan yang lebih besar,” tambahnya.
Pinn Yang turut menekankan bahawa syarikat telah berkembang melangkaui bidang penerbitan iaitu merangkumi pemasaran pempengaruh, perdagangan gabungan dan pengurusan kempen, sekali gus membentuk perkhidmatan yang lebih bersepadu.
Mengenai persaingan pasaran, beliau berkata, syarikat itu menyasarkan untuk mengekalkan keuntungan dengan terus menghasilkan kandungan berkualiti tinggi bagi khalayak di Malaysia dan seluruh Asia Tenggara, sekali gus mengukuhkan aliran pendapatannya dan menyokong margin.
"Kandungan yang kukuh membolehkan kami untuk terus mengembangkan khalayak kami sambil kurang berbelanja untuk pengiklanan, jadi margin meningkat.
"Kami telah mencatatkan keuntungan sejak hari pertama, dan kami bercadang untuk terus berbuat demikian,” tambahnya.
Foodie Media mencipta dan mengedarkan kandungan digital di platform sosial utama dan di laman webnya sendiri, menguruskan 34 jenama gaya hidup di Asia Tenggara terdiri daripada makanan, hartanah, pelancongan, riadah, rumah dan kehidupan, teknologi, sukan dan automotif.
Jenama utamanya termasuk KL Foodie, Penang Foodie, Bangkok Foodie, Singapore Foodie dan Halal Foodie, yang keseluruhannya mencecah 46 juta pengikut. - Bernama