SHAH ALAM – Seramai lapan ejen syarikat pembersihan termasuk dua wanita warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas 174 pertuduhan memperdagang 43 wanita negara sama bagi maksud eksploitasi kerja, bulan lalu.
Tertuduh ialah Lim Wei Jian, 28, Lim Xin Jie, 30, Mohd Syakir Hanin Mohd Wazer, 39, Ng Chun Hou, 48 dan dua beradik iaitu Ng Thir Ngin, 45 dan kakaknya, Ng Ser Wei, 48.
Dua lagi tertuduh dari Indonesia ialah Siti Nurjanah Menah, 36 dan Ismaidah, 37.
Mereka membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Mohd Sabri Ismail.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa berniat bersama memperdagangkan semua mangsa berusia 20 hingga 44 tahun bagi maksud eksploitasi kerja dengan cara penyalahgunaan kedudukan orang yang terdedah kepada bahaya.
Kesalahan didakwa dilakukan sekitar Bandar Bukit Tinggi 2, Bandar Bestari dan Bandar Botanik di sini pada 10 dan 11 Oktober.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaaan yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad tidak mencadangkan jaminan namun sekiranya mahkamah mengguna pakai untuk memberikan ikat jamin kadar itu ditetapkan antara RM10,000 hingga RM30,000 bagi setiap tertuduh dan pertuduhan.
“Bagi tertuduh warga asing, perlu dikenakan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis sekali setiap bulan,” katanya.
Bagaimanapun, peguam, T Harpal Singh yang mewakili semua tertuduh merayu mahkamah memberi ikat jamin pada kadar minimum secara global bagi semua pertuduhan.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua permohonan, Mohd Sabri membenarkan jaminan keseluruhan sebanyak RM470,000 dan membenarkan syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan terhadap dua wanita Indonesia itu.
Mahkamah menetapkan 16 Januari 2026 untuk sebutan semula kes.