SHAH ALAM – “Insiden pesawat terhempas di Elmina itu, itulah detik paling meninggalkan kesan dalam hidup saya sebagai Ketua Polis Daerah Shah Alam.”
Demikian kata bekas Ketua Polis Daerah Shah Alam, Senior Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim ketika mengimbau tragedi berkenaan dalam Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Shah Alam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada Jumaat.
Mohd Iqbal berkata, tragedi pada 17 Ogos 2023 itu meragut 10 nyawa, iaitu lapan individu dalam pesawat termasuk dua kru serta dua mangsa di darat, masing-masing seorang penunggang motosikal dan seorang pemandu kereta.
Menurutnya, tragedi itu sangat menyayat hati dan menjadi cabaran paling besar sepanjang kerjaya saya.
"Saya mengetuai pengurusan awal lokasi bersama pasukan forensik, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU).
"Segala tindakan perlu dilakukan segera, sensitif dan profesional merangkumi aspek kawalan keselamatan, pengurusan media, pengesahan identiti mangsa hinggalah bantuan kepada waris," katanya.
Beliau berkata, tragedi itu mendapat liputan meluas dan memerlukan koordinasi pantas pelbagai agensi bagi memastikan operasi berjalan teratur.
Dalam ucapannya, Mohd Iqbal turut menzahirkan penghargaan kepada pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Selangor serta seluruh warga IPD Shah Alam atas komitmen tinggi yang membantu mengukir kejayaan dalam operasi jenayah berat, narkotik dan strategi menurunkan kadar indeks jenayah di daerah itu.
"Setiap kejayaan bukan hasil seorang individu tetapi berkat kerja berpasukan, saya amat menghargai kesungguhan semua warga IPD Shah Alam dalam menghadapi pelbagai cabaran bersama,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada isterinya serta kepimpinan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Selangor dan Shah Alam atas sokongan berterusan sepanjang tempoh pentadbirannya.
Majlis itu menyaksikan Mohd Iqbal menyerahkan tugas kepada Asisten Komisioner Ramsay Anak Embol, yang dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Shah Alam ke-17.
"Saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ramsay. Saya yakin IPD Shah Alam akan terus melakar kecemerlangan di bawah kepimpinannya,” katanya.
Mohd Iqbal kini memulakan peranan baharu sebagai Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Selangor, dan berharap hubungan kerja erat bersama IPD Shah Alam akan terus kekal walaupun beliau tidak lagi memimpin daerah itu.