KOTA KINABALU - Rakyat Sabah harus memilih pemimpin yang berwibawa menerusi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang berbaki tinggal sehari lagi bagi memastikan negeri ini terus melangkah ke arah pembangunan yang lebih baik.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kemajuan Sabah tidak akan dapat dicapai sekiranya pemimpinnya gagal menunjukkan integriti dan keupayaan sebenar dalam mentadbir.
"Kita ingin memulakan Sabah yang lebih baik, lebih maju, supaya negara kita juga menjadi lebih baik.
"Namun, harus ingat, tidak mungkin Sabah menjadi bagus kalau pemimpinnya tidak bagus. Tidak mungkin ekonomi Sabah berkembang kalau pemimpinnya tidak bagus.
"Maka sebab itu memilih pemimpin lebih penting daripada ekonomi yang banyak tetapi diurus oleh orang yang tidak bagus.
"Memilih pemimpin lebih penting kerana merekalah yang menentukan hala tuju negeri," katanya semasa berucap pada Ceramah Mega Kasi Bagus Sabah, di Taman Putera Jaya, di sini, pada malam Khamis.
Beliau berkata, Perikatan Nasional (PN) menawarkan calon yang telah melalui proses tapisan menyeluruh bagi memastikan hanya mereka yang berkualiti diketengahkan kepada rakyat Sabah.
"Tapi kalau pemimpin yang korup yang rasuah, yang menyalah guna kuasa, yang menyeleweng, bagilah dana berapa peratus sekalipun.
"40 peratus tak ada makna kalau pemimpin yang korup. 40 peratus tak ada makna bagi rakyat kalau pemimpin yang rasuah. 40 peratus tak ada makna untuk pembangunan Sabah kalau ia diurus oleh orang yang tidak jujur, yang tidak amanah.
"Yang paling penting bagaimana kita memilih pemimpin...Kalau pemimpinnya baik, rakyat juga akan jadi baik. Namun kalau pemimpin rosak, kerosakan itu akan merebak kepada rakyat sehingga merosakkan negara tersebut," katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa selepas PRN lalu, rakyat Sabah telah memberi kepercayaan kepada PN dan gabungan itu komited menawarkan barisan kepimpinan yang diyakini mampu membawa Sabah ke arah lebih cemerlang.
"Kita menang kita mengetuai kerajaan, sayangnya, rakyat Sabah tidak sempat meraikan merasai bagaimana kepimpinan PN sehingga beralih bertukar pada wajah baharu dalam politik Sabah.
"Kali ini komitmen kita kemenangan PN akan memberi harapan dan memberi perubahan besar kepada Sabah dalam konteks kepimpinan yang baik, yang jujur dan yang amanah, yang pembangunanya diberi perhatian serius kepada rakyat keseluruhannya.
"Manifesto PN tawaran kami kepada seluruh rakyat Sabah, saya meneliti satu persatu komitmen manifesto PN sangat bagus mencakupi semua bidang, semua pihak tidak ada satupun tertinggal, tawaran disusun dan rapi serta teliti untuk melihat kepentingan rakyat Sabah.
"Namun tawaran sebanyak 47 muka surat ini tidak ada maknanya kalau PN tidak diberi peluang untuk mentadbir Sabah, calon yang baik mana pun kita tawar kepada rakyat, kejujuran kepimpinan kita tawarkan kepada rakyat namun ia hanya berkesan apabila PN mentadbir mengurus negeri Sabah ini," katanya.
Mengimbas kembali perjalanan PN di Sabah, Tuan Ibrahim berkata negeri itu memainkan peranan penting dalam pembentukan identiti gabungan tersebut.
"PN bermula di Sabah, bukan di Semenanjung. Ketika mendaftarkan PN, ujian pertama ialah di Sabah. Pada waktu itu, PN tidak ada logo dan warnanya pula hampir menyamai Barisan Nasional. Kami bimbang jika rakyat keliru," katanya.
Namun, katanya, PN tetap meneruskan keputusan bertanding menggunakan tulisan tanpa logo kerana proses penukaran rasmi tidak sempat dibuat oleh pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS).
"Apa yang berlaku? Rakyat Sabah membuat keputusan menyokong PN walaupun tanpa logo dan warna yang hampir sama dengan parti lain. Keputusan rakyat Sabah itu menyebabkan kita kekal dengan warna dan nama PN tanpa logo.
"Apa maknanya? Rakyat Sabah menghantar isyarat bahawa mereka tidak memerlukan logo untuk memilih. Mereka tidak keliru dengan warna. Mereka memilih pemimpin yang jujur, amanah dan berintegriti," katanya.
Sehubungan itu, beliau dalam pada itu menyatakan komitmen PN untuk membawa perubahan lebih besar sekiranya diberi peluang mentadbir.
"Manifesto PN sangat komprehensif, mencakupi semua bidang dan semua kelompok rakyat. Namun sebanyak mana pun tawaran itu, ia tidak bermakna jika PN tidak diberi mandat untuk mentadbir.
"Calon yang baik dan kepimpinan yang jujur hanya dapat dibuktikan apabila diberi peluang mengurus negeri ini," katanya.