KUALA TERENGGANU – Situasi banjir di Terengganu menunjukkan perkembangan membimbangkan apabila jumlah mangsa yang dipindahkan kini melebihi 4,000 orang.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, sehingga jam 10 pagi Jumaat, seramai 4,225 mangsa daripada 1,204 keluarga ditempatkan di 59 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah seluruh negeri.
Data terkini yang dikongsikan melalui portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menunjukkan trend paras air berada pada tahap menaik, manakala cuaca dilaporkan hujan di beberapa tempat.
Daerah Marang mencatat jumlah mangsa paling ramai dengan 1,340 orang daripada 377 keluarga di sembilan PPS, diikuti Kemaman dengan 1,241 mangsa daripada 331 keluarga yang ditempatkan di 12 PPS.
Setiu pula menjadi daerah ketiga terjejas teruk apabila merekodkan 913 mangsa daripada 275 keluarga yang berlindung di 19 PPS.
Daerah lain turut terkesan iaitu Kuala Terengganu (240 mangsa), Dungun (272), Hulu Terengganu (132) serta Besut (87).
Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menasihatkan penduduk di kawasan rendah dan berisiko banjir agar kekal berwaspada serta mematuhi arahan pemindahan sekiranya diperlukan, memandangkan paras air masih menunjukkan peningkatan.
“Maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan APM pada Jumaat.