SUNGAI BULOH – Kementerian Pertahanan (MINDEF) terus memperkukuhkan ekosistem kesejahteraan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi inisiatif Kerjaya Kedua Perwira yang memberi tumpuan kepada latihan, pengiktirafan kemahiran dan peluang kerjaya bernilai tinggi bagi menyokong peralihan pasca perkhidmatan mereka.
Ia sekali gus membolehkan veteran tentera dapat terus berjuang dan menabur bakti kepada pembangunan negara walaupun tempoh perkhidmatan mereka telah berakhir.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pihaknya memberi perhatian kepada pembangunan modal insan dan kesejahteraan sosioekonomi veteran ATM termasuk dengan membantu anggota tentera yang bakal bersara mempersiap diri menghadapi dunia pekerjaan pasca perkhidmatan.
“Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) kini giat melaksanakan Kerjaya Kedua Perwira, iaitu inisiatif strategik yang menghubungkan agensi awam dan syarikat swasta bagi meluaskan akses latihan industri berkualiti serta peluang kerjaya bernilai tinggi untuk bakal pesara dan veteran ATM.
“Usaha ini memperkasa peralihan kerjaya mereka melalui pembangunan kompetensi, pengiktirafan kemahiran dan padanan peluang pekerjaan yang lebih relevan dengan keperluan pasaran semasa,” katanya pada Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia (Program Recognition Of Prior Experiential Learning - RPEL) & Sijil PERHEBAT di Dewan Jubli Perak Kompleks PERHEBAT, Kem Sungai Buloh di sini pada Rabu.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali.
Hadir sama, Pengerusi PERHEBAT, Profesor Emerita Datuk Dr Roziah Omar dan Ketua Pengarah PERHEBAT, Datuk Ts Amir Md Noor.
Pada majlis berkenaan, seramai 593 anggota dan veteran tentera menerima Diploma Kemahiran Malaysia dan sijil PERHEBAT masing-masing.
Mengulas lanjut, Adly berkata, dalam perlaksanaan inisiatif berkenaan, PERHEBAT kini berkolaborasi dengan lebih 62 syarikat termasuk Kumpulan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dalam pelbagai industri seperti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), pembuatan, pengangkutan, perkhidmatan, teknologi hijau dan marin, telekomunikasi serta agromakanan.
Justeru, Adly juga meminta supaya lebih ramai warga industri tampil untuk menjadi rakan pembangunan negara kerana pesara ATM merupakan individu yang telah mempertahankan keamanan dan kedaulatan tanah air yang menjadi tunjang kestabilan ekonomi Malaysia hari ini.
“Maka, adalah menjadi tanggungjawab moral dan nasional sektor swasta untuk menghargai jasa mereka dengan menyediakan peluang pekerjaan serta kerjaya yang bermakna dan berkualiti. Saya yakin, keterlibatan aktif pemain industri merupakan faktor penentu dalam kejayaan Pelan Transformasi PERHEBAT.
“PERHEBAT juga akan terus memperkukuh ekosistem kerjaya veteran yang bersepadu, menghubungkan secara langsung bakal pesara ATM dengan pasaran kerja melalui pemadanan kemahiran, peningkatan latihan teknikal serta pembangunan kerjaya menyeluruh,” kata beliau lagi.
Katanya, bakal-bakal pesara turut digesa agar tidak berehat terlalu lama selepas fasa peralihan dan merebut peluang yang ada untuk mendapat pekerjaan yang berkualiti selepas persaraan.
Veteran penggerak ekonomi
Adly memaklumkan, PERHEBAT ketika ini turut melakar pencapaian membanggakan apabila berjaya menghantar kumpulan pertama bakal veteran ke Liuzhou, China mengikuti program latihan antarabangsa dalam industri rel pada 25 September lalu.
Menurutnya, usaha itu terhasil melalui kerjasama Public Private Partnership (PPP) melibatkan Malaysia Rail Link Sdn Bhd, Yayasan Pahang, UCYP University, Akademi Rel Pahang dan China Communications Construction Company (Malaysia) Sdn Bhd.
“Seramai 10 peserta kini sedang mengikuti Kursus Railway Power Supply Technology selama satu tahun di Liuzhou Railway Vocational Technical College. Mereka turut diberikan jaminan penempatan kerja bersama MRL dan CCCC (Malaysia) sebaik tamat pengajian, khususnya dalam projek strategik nasional, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL),” ujar beliau.
Kerjaya Kedua Perwira adalah inisiatif yang terangkum di bawah Pelan Transformasi PERHEBAT 2026 - 2035 yang bermatlamat untuk membangunkan bakal pesara dan veteran sebagai penggerak ekonomi serta tenaga kerja berkualiti tinggi menerusi tiga fasa dan empat teras strategi.
Pelan Transformasi berkenaan turut menggalakkan keusahawanan berimpak tinggi untuk manfaat kumpulan sasar.
Inisiatif yang dipacu sektor swasta tersebut berupaya meluaskan akses serta pilihan kepada veteran untuk menceburi industri yang memberi nilai pendapatan tinggi seiring dengan pengalaman dan kepakaran mereka seterusnya menuntut veteran untuk keluar dari takuk yang lama serta bangkit menjadi pencipta-pencipta nilai yang baharu di dalam pembangunan ekonomi negara.
REAKSI
“Saya ambil diploma RPEL dalam jurusan Pentadbiran Operasi Logistik untuk tingkatkan lagi kemahiran memadangkan sekarang saya bertugas sebagai pemandu rasmi Yang di-Pertuan Agong. Alhamdulillah saya dapat tamatkan latihan ini dalam tempoh enam bulan.” – BM TNL Muhammad Danial Ahmad Shafiee.
“Saya akan tamat perkhidmatan pada 2036, jadi sebagai persediaan awal saya ambil diploma dalam bidang penyeliaan perkhidmatan sekuriti kerana sasaran saya apabila bersara nanti saya mahu bertugas sebagai warden penjara. Peluang kerjaya sebagai warden saya lihat sangat cerah.” – LK PRL Amanina Mohamad Alam Shah.
“Sijil ini bolehkan saya ceburi banyak bidang seperti masakan dan peruncitan. Saya juga nak buktikan bahawa tidak menjadi masalah untuk pegawai atasan mengikuti kursus peralihan di PERHEBAT. Ini menjadi satu transisi ke dunia awam.” - Brigedier Jeneral, Datuk Ruszali Zakaria, TUDM.
“Buat pertama kalinya saya dan 22 anggota Cawangan Muzik dan Kesenian TUDM diberi pengiktirafan untuk merealisasikan projek rintis diploma RPEL oleh TUDM dan kami dapat genggam diploma hanya dalam tempoh tiga bulan.” – Leftenan Kolonel, Muhammad Rizal Mohd Noor, TUDM.