Ribut Tropika Senyar mula badai Pantai Barat malam ini

Iklan
Dr Mohd Hisham memberi penerangan berkenaan Ribut Tropika Senyar pada sidang media pada Khamis. FOTO SINAR HARIAN- MOHD HALIM ABDUL WAHID

PETALING JAYA - Ribut Tropika Senyar dijangka membawa hujan lebat berterusan dan angin kencang akan menghampiri Pantai Barat Semenanjung Malaysia malam ini, sekali gus mewujudkan risiko cuaca buruk selama beberapa hari.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, pemantauan terkini menunjukkan ribut tersebut sedang bergerak dari utara Selat Melaka dan dijangka tiba di kawasan antara sempadan Selangor serta Perak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jalur awan pekat yang mengelilingi mata ribut sudah mula memasuki Semenanjung, menandakan permulaan episod hujan lebat yang dijangka berterusan dalam tempoh 24 jam akan datang.

“Ribut Tropika Senyar dijangka membawa angin sehingga 50 kilometer sejam, selain menghasilkan hujan berterusan yang boleh mencecah sekitar 300 milimeter (mm) apabila ia memasuki daratan,” katanya semasa sidang akhbar khas di MetMalaysia di sini, pada Khamis.

Iklan

Jelas beliau, sistem ribut itu sedang bergerak ke arah timur pada kelajuan kira-kira 9 kilometer sejam, dengan pusat ribut kini berada pada kedudukan latitud 3.6° Utara dan longitud 100.4° Timur di perairan Selat Melaka.

MetMalaysia sebelum ini memaklumkan Senyar dikesan memasuki utara perairan Selat Melaka menuju ke barat Semenanjung, dengan potensi menyebabkan hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora, khususnya di negeri-negeri bahagian barat dan tengah Semenanjung mulai Khamis hingga Ahad.

Iklan

Tiga amaran utama berkuat kuasa

Dalam pada itu, tiga amaran utama kini berkuat kuasa iaitu Amaran Ribut Tropika, Amaran Hujan Berterusan serta Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora, melibatkan negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Amaran tersebut berkuat kuasa sehingga 29 November, tertakluk kepada perubahan berdasarkan data radar, satelit serta analisis daripada pusat pemantauan ribut tropika India dan Jepun.

Dr Mohd Hisham turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada kemungkinan hujan luar biasa susulan pemerhatian radar menunjukkan tumpuan hujan kini berada di perairan Selat Melaka dan bergerak memasuki daratan sebelum menyeberangi Semenanjung menuju ke Laut China Selatan.

Beliau berkata, episod hujan kali ini dijangka menghasilkan 200 hingga 300 mm dalam tempoh terdekat, iaitu lebih rendah berbanding 1,000 mm dalam empat hari di Kelantan dan 400 mm dalam dua hingga tiga hari di Perlis baru-baru ini, namun masih membawa risiko banjir kilat dan tanah runtuh.

Senyar juga dianggap episod ribut tropika paling luar biasa dalam sejarah negara kerana berlaku di Selat Melaka, sesuatu yang tidak pernah direkodkan sebelum ini. Malaysia sebelum ini hanya mengalami dua ribut tropika iaitu Greg (1996) dan Vamey (2001).

Untuk maklumat terkini, orang awam boleh melayari www.met.gov.my mengikuti media sosial rasmi MetMalaysia, menggunakan aplikasi myCuaca, atau menghubungi Hotline MetMalaysia 1300-22-1638 yang beroperasi 24 jam.