KUALA LUMPUR - Mayat pempengaruh wanita warga Taiwan berusia 31 tahun yang ditemukan mati dalam bilik air sebuah hotel di Jalan Conlay di sini pada 22 Oktober lalu sudah dituntut keluarga.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, setakat ini pihaknya masih menunggu laporan patologi dari pihak hospital.
“Kita masih belum mendapat keputusan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) ada beberapa tindakan lagi yang perlu kita dapatkan termasuk laporan patologi.
“Kita telah bagi lanjutan jamin selama 14 hari kepada individu berkenaan (Namewee),” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Kesejahteraan Komuniti 'Disiplin Terjaga, Generasi Terbina' Tahun 2025 di Pusat Konvensyen HGH pada Khamis.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Megat Affandi Ismail.
Sebelum ini, media melaporkan pengarah dan penyanyi, Wee Meng Chee atau lebih dikenali Namewee, 42, disambung jaminan polis dua minggu lagi manakala siasatan kematian pempengaruh wanita berkenaan diteruskan.
Jaminan polis terhadap Namewee itu disambung sehingga 10 Disember depan.
Peguam negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan, pembebasan Namewee berikutan tiada sebarang petunjuk kukuh dapat mengaitkan individu berkenaan secara langsung dengan punca kematian pempengaruh wanita warga.
Beliau turut mengesahkan arahan untuk siasatan lanjut dikeluarkan kepada Polis Diraja Malaysia bagi mengumpul lebih banyak maklumat dan melengkapkan kertas siasatan.
Pada 5 November lalu, Namewee tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan ditahan reman sebelum dibebaskan dengan jaminan.
Reman terhadap Namewee bagi membantu siasatan kematian Yun Hsin selepas penyanyi terbabit adalah individu terakhir yang dikatakan bersama mangsa.