Zuraida bantah PKR dibenar cabar keputusan semakan

Iklan
Zuraida Kamaruddin

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini menetapkan 11 Disember depan untuk pendengaran permohonan bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zuraida Kamaruddin untuk menyemak keputusan yang membenarkan parti terbabit mencabar keputusan Mahkamah Rayuan.

Ia membabitkan pengurangan jumlah bayaran daripada RM10 juta kepada RM100,000 yang dikenakan terhadapnya kerana melanggar syarat bon parti.

Iklan
Iklan

Peguam, Navpreet Singh yang mewakili PKR, memaklumkan tarikh itu selepas dihubungi media.

Ketika pengurusan kes pada Khamis, beliau berkata, mahkamah juga menetapkan 13 Februari 2026, bagi mendengar rayuan parti itu terhadap keputusan yang mengurangkan bon terbabit.

Iklan

Pada 6 Oktober lalu, Zuraida memfailkan notis usul supaya mahkamah tertinggi ini mengetepikan keputusan yang menyebelahi PKR dan mendengar semula permohonan kebenaran merayu.

Permohonan semakan itu dikemukakan berdasarkan Aturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Iklan

Pada 24 Jun lalu, Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada PKR untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang mengurangkan jumlah bayaran tersebut.

Permohonan itu, yang dibenarkan oleh panel tiga hakim terdiri daripada Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, merupakan syarat bagi membolehkan perkara tersebut dibawa ke Mahkamah Persekutuan.

Pada 11 Disember 2024, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Datuk See Mee Chun mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati Zuraida telah melanggar syarat bon parti, namun mengurangkan jumlah bayaran daripada RM10 juta kepada RM100,000.

Sebelum itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Jun 2023 membuat keputusan yang memihak kepada PKR dan memerintahkan Zuraida membayar RM10 juta kepada parti.

Hakim, Datuk Akhtar Tahir mendapati bon itu merupakan satu kontrak yang sah dan mengikat.