PUTATAN - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kewujudan calon bebas yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas, sehingga mencetuskan persaingan 10 penjuru seolah-olah menunjukkan ada pihak yang memandang ringan proses pilihan raya.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menegaskan bahawa kerusi yang dipertaruhkan bukan sekadar simbol politik, tetapi amanah besar yang menentukan masa depan rakyat.
“Ini berapa yang mahu bertanding di Petagas ini? Sepuluh… Ingat ini main-main kah? Ini wakil mahu menjamin masa depan rakyat. Ya. Kalau yang bebas, dia mahu buat apa? Nak hubungi siapa?
“Okey, katalah bebas menang, dia mahu ‘contact’ siapa? Ini masalah rakyat. Siapa yang mahu bantu? Dia kena ingat itu. Masa depan kita, anak-anak kita yang di sekolah, ibu bapa kita yang sakit yang perlu ke klinik, jalan raya yang perlu dibaiki,” katanya ketika berucap pada Karnival Harapan Urang Sabah di Petagas, pada Khamis.
Anwar menambah, rakyat khususnya pengundi di DUN Petagas perlu memilih calon PH bagi memastikan segala urusan rakyat dapat disalurkan dengan lebih cepat dan berkesan melalui rangka kerja kerajaan.
"Awang Husaini menang di Petagas, Insya-ALLAH.. Boleh? Dia menang di Petagas, dia boleh 'direct line' dengan saya. Yang lain kena tunggulah, dia direct line.
"Dia kata ada masalah itu, masalah ini, saya bantu kerana saya datang, saya tengok anak-anak muda, ibu bapa semua ada, rakan-rakan semua ada. Jadi, saya bertanggungjawab, boleh lakukan. Sebab itu, saya minta kawan-kawan kerja betul-betul. Ini 10 parti pening kepala kita," katanya.
Beliau dalam pada itu menekankan kepentingan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan, sambil menjelaskan bagaimana hubungan baik itu membolehkan pelbagai isu rakyat diselesaikan dengan lebih cepat.
Anwar berkata, lawatannya ke DUN Sulaman, menjadi bukti bahawa keserasian antara dua peringkat kerajaan mampu menghasilkan tindakan yang nyata, bukan sekadar janji.
"Saya pergi tadi di Sulaman, bersama dengan Datuk Seri Hajiji. Kenapa saya pilih DUN Sulaman? Kerana saya lihat umpamanya kerjasama kerajaan Persekutuan dan negeri ini baik.
"Kita bangkit soal air, bukan kita janji. Sudah mula dilaksanakan. Insya-ALLAH tahun depan selesai kebanyakan masalah air di Sabah. Ini bukan janji pilihan raya. Dua tahun dah projek ini berjalan. Mahu siap tahun depan," jelasnya.
Anwar dalam pada itu turut menempelak pihak yang cuba menunggang isu dengan mendakwa projek hanya akan siap jika mereka menang.
"Ada orang kata, menang saya tahun depan siap. Yalah… bukan kamu kerja. Kami sudah kerja. Tahun depan siap. Kerajaan Sabah kata MA63, ini kuasa Sabah… saya kata memang kuasa Sabah. Buat undang-undang, pinda undang-undang, siapa yang buat? Kerajaan Persekutuan, bukan orang-orang yang jerit marah-marah kita," katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan perlu diteruskan agar usaha pembangunan yang sedang berjalan dapat diperkukuh, sekali gus mempercepat kemajuan Sabah.
"Jadi saya harap kerjasama ini boleh kita teruskan, perlunya PH kerana kita ada saluran langsung," katanya.