Harga makanan murah, kos sara hidup rendah di Kelantan - Exco

Iklan
Menurut Kamarudin (gambar kecil), budaya peniaga di negeri ini dari turun-temurun suka memberi lebih atau mengambil untung yang sikit sahaja dalam jual-beli. Gambar hiasan

KOTA BHARU - Kelantan menjadi negeri mencatatkan kadar inflasi terendah di seluruh negara apabila hanya 0.1 peratus bagi Oktober lalu berbanding graf pada September ialah 0.5 peratus berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Data DOSM menunjukkan enam negeri mencatatkan inflasi melebihi kadar nasional 1.3 peratus, iaitu Johor (1.9 peratus), Negeri Sembilan (1.7 peratus), Selangor (1.6 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1.6 peratus), Melaka (1.4 peratus) dan Terengganu (1.4 peratus).

Iklan
Iklan

Mengulas perkara tersebut, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor bersyukur dan menyifatkan dapatan tersebut sebagai satu petunjuk positif terhadap budaya perniagaan di negeri ini.

“Syukur alhamdulillah atas fakta yang dikeluarkan oleh DOSM pada 21 November lepas.

Iklan

"Terima kasih kepada para peniaga makanan dan lain-lain perkhidmatan atas kesedaran mereka untuk tidak mengaut untung yang berlebihan di samping menjaga kualiti yang dilestarikan,” katanya.

Menurut beliau, hasil kefahaman para peniaga tentang keberkatan rezeki yang diperolehi dengan memperbanyakkan infak, menjadikan antara faktor kos sara hidup di Kelantan terus kekal rendah dan mampu milik untuk semua lapisan masyarakat.

Iklan

Ujarnya, budaya peniaga di negeri ini dari turun-temurun suka memberi lebih atau mengambil untung yang sikit sahaja dalam jual-beli.

"Tapi kualiti tetap dijaga. Contohnya, sejak zaman dulu kala lagi budaya ini diamalkan. Kita beli seikat sayur pucuk manis, penjual hadiahkan segenggam taugeh.

"Sikap pemurah ini sudah sebati dengan peniaga kita. Sampai sekarang masih diamalkan. Dengan demikian, kos sara hidup di Kelantan menjadi yang sangat berpatutan untuk semua berbanding negeri-negeri lain di negara kita,”katanya.

Menurut beliau, kelebihan itu bukan sahaja memanfaatkan penduduk setempat bahkan memberi kesan langsung kepada sektor pelancongan.

Kamarudin memberitahu, dari sudut pelancongan, keadaan ini amat menggalakkan para pelancong dan pengunjung untuk berulang kali datang ke Kelantan.