KOTA BHARU - Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Seksyen 1B dari Kampung Sungai Peria ke Kampung Laloh di Kuala Krai sepanjang 14.75 kilometer (km) mengalami kelewatan apabila kemajuan fizikal semasa hanya 15.37 peratus, berbanding 16.81 peratus mengikut jadual.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin berkata, kelewatan itu menyebabkan tarikh siap projek berkenaan dianjakkan daripada sasaran asal Februari 2028 kepada 24 Disember tahun sama.
"Projek yang bermula pada 24 Februari 2025 itu kini mencatatkan kemajuan fizikal sebenar sebanyak 15.37 peratus berbanding 16.81 peratus mengikut jadual.
"Tarikh siap semasa ditetapkan pada 24 Disember 2028 berbanding sasaran asal pada Februari 2028," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Fauzi Abdullah (Pas-Manek Urai) pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim, di sini pada Khamis.
Menurut beliau, perkembangan itu berdasarkan laporan Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek Khas (JPPK) bagi Projek LTU dan Projek Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) Negeri Kelantan (Task Force) Bilangan 4 Tahun 2026 pada 20 September lalu.
Terdahulu, media melaporkan projek LTU di Kelantan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2028, membabitkan jajaran sepanjang 107.41 km dari Kuala Krai hingga Gua Musang.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata, pelaksanaan projek berkenaan melibatkan 10 subpakej di Kelantan dengan kos keseluruhan sebanyak RM3.08 bilion.