TAWAU – Laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus membuktikan kelebihannya apabila 95.1 peratus graduan berjaya memperoleh pekerjaan selepas tamat pengajian, menjadikan TVET pilihan utama untuk anak muda meningkatkan masa depan kerjaya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, data itu menunjukkan industri semakin memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi, sekali gus membuka peluang gaji lebih baik kepada golongan muda.
“Graduan TVET lebih cepat diterima bekerja, malah gaji permulaan mereka juga lebih tinggi kerana industri mahukan pekerja berkemahiran,” katanya pada sesi Jelajah TVET di Kolej Komuniti Tawau dan Institut Pendidikan Guru Tawau pada Rabu.
Pengerusi Majlis TVET Negara itu berkata, walaupun kerajaan menetapkan gaji asas RM1,700, maklum balas majikan menunjukkan pemegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 layak menerima sekitar RM2,500, selaras dengan permintaan industri terhadap tenaga mahir.
“Majikan mengesahkan prospek graduan TVET jauh lebih luas dan akses ke pasaran kerja lebih mudah,” jelasnya
Ahmad Zahid berkata, agenda TVET negara diperkukuhkan melalui Majlis TVET Negara yang dipengerusikan olehnya, bagi memastikan pembangunan ekosistem kemahiran terus memenuhi keperluan industri masa depan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata, perkembangan positif ini membuktikan TVET bukan lagi laluan sampingan, sebaliknya platform utama untuk anak muda meningkatkan mobiliti ekonomi.
“Pada 29 November ini, pastikan anak muda memilih calon yang benar-benar memperjuangkan masa depan mereka,” ujarnya.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah mencatatkan bahawa 55.4 peratus daripada 1,784,843 pengundi adalah anak muda berusia 18 hingga 40 tahun, menjadikan mereka penentu hala tuju negeri.