PASIR MAS - Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan perlombongan haram emas dan mineral di 10 lokasi membabitkan tiga negeri iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang sejak awal tahun ini dengan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM8.9 juta.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, kes-kes dikesan beroperasi jauh di dalam hutan simpan termasuk menggunakan laluan balak lama.
Menurutnya, operasi yang dijalankan melalui Ops Khazanah bersama pelbagai agensi itu turut menahan 52 individu warga tempatan dan pekerja asing Indonesia, Kemboja, Myanmar selain seorang wanita serta seorang Orang Asli.
“Kesemua 10 kes serbuan membabitkan rampasan bernilai RM8.9 juta ini merangkumi jentera berat dan peralatan-peralatan perlombongan.
“Tangkapan berusia antara 20 hingga 40 tahun membabitkan pekerja-pekerja di lombong haram berkenaan,” katanya pada sidang akhbar selepas lawatan ke Pos PGA Pak Teh Kana di Rantau Panjang di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Ahmad Radzi berkata, pasukan turut menemukan sejumlah emas di bawah karpet yang digunakan untuk menapis unsur itu semasa proses perlombongan.
“Selain itu, juga ada mineral lain ditemui dalam serbuan termasuk di Temerloh yang dihantar kepada Jabatan Mineral dan Geosains untuk pengesahan,” katanya.
Ujarnya, terdapat tanda-tanda sesetengah tapak sudah lama beroperasi manakala ada juga lokasi baharu perlombongan haram itu.
Ahmad Radzi berkata, semua kes disiasat di bawah enakmen kerajaan negeri termasuk kesalahan melombong mineral tanpa permit dan mengambil hasil bumi secara haram.