TUNE Protect Re (Tune Protect), sebuah anak syarikat insurans Pelancongan & gaya hidup terkemuka milik Tune Protect Group Berhad mengembangkan kerjasama dengan Ticket2U, sebuah platform penjualan tiket utama di Asia Tenggara, ke Indonesia dengan pelancaran Ticket Refund Protection dan Sports Personal Accident (PA).
Ketua Pegawai Eksekutif Tune Protect Re, Janet Chin berkata, ia sejajar dengan pelan pengembangan serantau Tune Protect ke seluruh Asia Tenggara, sekali gus membawakan perlindungan insurans Indonesia kepada para pengunjung acara melalui platform digital Ticket2U susulan kejayaan pelancaran perlindungan tersebut di Malaysia pada awal tahun ini.
Menurutnya, perkembangan tersebut menggambarkan komitmen berterusan Tune Protect untuk menjadikan insurans sesuatu yang mudah, senang diakses dan relevan dengan gaya hidup digital pengguna masa kini.
"Dengan menyepadukan perlindungan terus ke dalam ekosistem Ticket2U, Tune Protect membolehkan para pengunjung acara untuk merancang dan menikmati pengalaman mereka dengan lebih yakin serta memberi ketenangan fikiran yang lebih tinggi.
"Berikutan dengan kejayaan Ticket Refund Protection dan Sports PA di Malaysia, kami berbesar hati untuk melanjutkan perlindungan ini ke Indonesia, sebuah negara dengan ekosistem dinamik dan pesat berkembang," katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Tambah beliau, kajian menunjukkan majoriti rakyat Indonesia gemar menghadiri konsert dan acara langsung, menggambarkan permintaan yang tinggi terhadap pengalaman hiburan serta pelancongan.
"Selain melindungi pengunjung acara tempatan, kerjasama kami dengan Ticket2U turut menggalakkan audiens antarabangsa untuk melancong ke Indonesia dan menghadiri acara dengan keyakinan lebih tinggi.
"Dengan menawarkan perlindungan yang melindungi daripada pembatalan atau gangguan saat akhir, kami memberikan ketenangan fikiran kepada pelancong untuk merancang perjalanan mereka tanpa perlu risau tentang halangan yang tidak dijangka," katanya.
Menurut tinjauan Jakpat’s Music Concert Trends & Fan Behaviours 2025, minat terhadap hiburan langsung terus meningkat dengan warga milenial dan Gen Z merupakan majoriti pengunjung konsert.
Seramai 81 peratus responden turut menyatakan bahawa mereka gemar menghadiri festival muzik.
Sehubungan itu, Pengarah Urusan Ticket2U Sdn Bhd, YC Chia berkata, bagi menggapai momentum tersebut, Tune Protect dan Ticket2U memperkenalkan jaminan tambahan untuk para peminat dan pengembara.
“Ticket2U Indonesia bermatlamat untuk membangunkan ekosistem tiket yang lebih pintar, selamat dan boleh dipercayai untuk penganjur mahupun para pengunjung.
"Melalui kerjasama dengan Tune Protect, kami memberikan nilai tambah dan keyakinan yang lebih tinggi kepada semua yang menyertai acara melalui platform kami," katanya.
Ticket Refund Protection kini tersedia untuk semua pelanggan Ticket2U di Indonesia, merangkumi pelbagai jenis acara termasuk konsert, festival, maraton, larian, persidangan, pameran dan kejohanan sukan.
Dengan harga hanya 5 peratus daripada harga tiket, perlindungan itu melindungi para pengunjung daripada apa-apa situasi tidak dijangka yang mungkin mempengaruhi kehadiran mereka.
Dengan pemberian perlindungan kepada pelbagai situasi yang tidak dijangka, Ticket Refund Protection memastikan para pengunjung acara menerima bayaran balik penuh jika mereka tidak dapat hadir disebabkan oleh keadaan seperti penyakit, kemalangan, bencana alam, kecemasan di rumah atau keadaan gangguan lain yang layak.
Bagi peminat sukan, Sports PA juga tersedia sebagai tambahan pilihan yang menyediakan perlindungan kewangan untuk kecederaan akibat kemalangan yang dialami semasa acara berkaitan sukan, memastikan ketenangan fikiran sambil kekal aktif.
Perlindungan Sports PA merupakan perlindungan pertama seumpamanya yang ditawarkan dalam arena acara di Indonesia.