JOHOR BAHRU - Seorang warga emas berputih masa apabila wang pelaburannya berjumlah RM335,926.38 lesap gara-gara terpedaya dengan pelaburan tidak wujud.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komosioner Raub Selamat, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang mendakwa kejadian bermula pada Jun lalu ketika berada di rumahnya di Ulu Tiram.
Katanya, berdasarkan laporan, mangsa mengakui tertarik dengan satu pelaburan yang dipromosikan melalui iklan di media sosial.
"Mangsa kemudiannya telah menekan pautan iklan tersebut dan berhubung dengan seorang individu melalui WhatsApp.
"Suspek seterusnya meminta mangsa memuat turun satu aplikasi sebelum membuka akaun menggunakan maklumat peribadi dan mangsa dijanjikan pulangan lumayan. Aplikasi berkenaan turut menunjukkan pertambahan nilai bagi meyakinkannya.
"Mangsa kemudiannya telah membuat 25 kali transaksi kepada tiga akaun bank berbeza antara 11 September hingga 21 November lalu dan semakan mendapati, kesemua akaun yang menerima wang tidak mempunyai rekod sah," katanya.
Tambah Raub, setelah pembayaran dilakukan, mangsa masih tidak menerima sebarang pulangan keuntungan seperti dijanjikan, sebaliknya suspek turut meminta bayaran tambahan.
Bagaimanapun, mangsa enggan meneruskan transaksi dan tampil membuat laporan polis kerana berasakan dirinya ditipu.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara 1 hingga 10 tahun, sebatan dan denda jika disabitkan kesalahan.
"Polis turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan menyemak nombor akaun penerima melalui portal rasmi Semak Mule (https://semakmule.rmp.gov.myhttps://semakmule.rmp.gov.my/) sebelum membuat pembayaran atau menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 bagi melaporkan aktiviti penipuan.
"Polis juga menegaskan bahawa pelaburan yang sah tidak akan meminta bayaran ke akaun peribadi atau menjanjikan pulangan luar biasa dalam tempoh singkat.
"Oleh itu, orang ramai diharapkan jangan mudah terpedaya dengan janji pulangan lumayan dalam masa singkat," katanya.