SEPANG - Taktik menyeludup kura-kura bernilai lebih RM30,000 yang diletakkan dalam bekas berisi stoking untuk dibawa Vietnam melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 di sini dipatahkan pihak berkuasa pada Rabu.
Kejayaan itu hasil kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dengan Polis Bantuan KLIA dan Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC).
Ketua Pengarah Jabatan Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, tangkapan terhadap seorang lelaki warga Vietnam dibuat kira-kira jam 11.20 pagi.
"Ini susulan selepas imbasan mesin pengimbas menunjukkan imej disyaki hidupan liar dalam beg dibawa suspek.
"Pemeriksaan kemudian dibuat ke atas satu kotak mengandungi dua bekas plastik sebelum menemui 116 ekor kura-kura spesies scorpion mud turtle dianggarkan bernilai RM30,808.63," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati lelaki terbabit dipercayai akan menaiki pesawat ke Hanoi yang berlepas pada jam 12.50 tengah hari.
Tambahnya, kesemua barang kes telah dibawa ke Pejabat Perhilitan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
"Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti peranan suspek dan kes disiasat di bawah Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686]," ujarnya.