HATYAI - Pasukan penyelamat sukarela Malaysia yang membantu mangsa terkandas banjir, berdepan cabaran baharu apabila segelintir pihak didapati sengaja menyalurkan maklumat tidak benar bagi meraih perhatian sehingga menyulitkan gerak kerja serta mengganggu fokus sebenar operasi.
Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Petani, Leong Beng Tat berkata, sejak pasukannya memasuki kawasan bencana, banyak maklumat palsu menerusi aplikasi WhatsApp diterima daripada pihak tertentu dipercayai untuk diberi keutamaan.
“Kita menerima banyak mesej kecemasan namun sebahagiannya didapati tidak benar selepas disemak.
“Maklumat tidak sahih yang tersebar kononnya terdapat mangsa dalam keadaan kritikal tetapi tidak dapat disahkan oleh pasukan kita di lapangan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, maklumat tersebut menyebabkan perancangan operasi terganggu, serta memberi kesan kepada usaha untuk membantu mangsa yang benar-benar memerlukan bantuan.
Tegasnya, kelancaran operasi pasukannya bergantung kepada maklumat tepat dan dijalankan berdasarkan tahap risiko serta keperluan sebenar mangsa.
“Setiap laporan palsu boleh menyebabkan kelewatan beberapa minit dan itu mungkin membezakan antara selamat atau tidak,” katanya.
Disebabkan itu, beliau mengingatkan pihak tertentu agar tidak menyebarkan atau mereka-reka maklumat demi mendapatkan perhatian atau bantuan segera, sebaliknya memberikan maklumat lengkap seperti lokasi, jumlah mangsa serta nombor telefon untuk dihubungi bagi melancarkan urusan pasukan penyelamat.
Sehingga Rabu, difahamkan kira-kira 1,006 rakyat Malaysia berjaya diselamatkan dan dibawa keluar dari bandar itu dengan bantuan pasukan sukarelawan serta badan bukan kerajaan (NGO).