GENAP tiga tahun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui Putrajaya, rekod pentadbiran Kerajaan Perpaduan kembali dipertikai susulan gelombang dakwaan rasuah baharu yang mengheret nama setiausaha politik kanan beliau.
Walaupun agenda antirasuah menjadi tonggak utama naratif kerajaan Madani sejak tahun 2022, siri pendedahan isu salah laku rasuah terutama video rakaman perbualan wanita dikaitkan dengan bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin dan ahli perniagaan, Albert Tei serta dakwaan Shamsul Iskandar mengambil wang lebih RM600,000, kini mengancam kredibiliti keseluruhan blok pemerintah.
Lebih memburukkan keadaan, rakaman berprofil tinggi itu muncul ketika persiapan menuju hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. Ia membuka dimensi baharu skandal dengan dakwaan bahawa tindakan merakam perbualan tokoh GRS dilakukan bukan atas inisiatif peribadi, sebaliknya didakwa ‘diarah oleh pihak lebih tinggi’ di Putrajaya.
Sebagai reaksi balas, Anwar dalam satu kenyataan memberi jaminan kebebasan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat sebarang dakwaan yang timbul berkaitan Shamsul Iskandar.
Jaminan itu diberikan kira-kira 17 jam selepas bekas Ketua Penerangan PKR itu meletakkan jawatan lewat petang Selasa, langkah mitigasi pantas yang dilihat penting bagi meredakan tekanan politik terhadap kepimpinan Perdana Menteri.
Berikutan itu, bekas Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan berpandangan, isu berkenaan menuntut Anwar melaksanakan dua perkara utama yang sangat signifikan.
Jelasnya, Perdana Menteri perlu menyerahkan kuasa penuh kepada SPRM untuk menyiasat semua pihak termasuk ahli parti kerajaan sendiri.
“Perkara kedua adalah keperluan Anwar melaksanakan proses penapisan semula kredibiliti setiap penasihat dan pegawai politik di keliling beliau yang berpotensi melemahkan komitmen reformasi.
“Secara umumnya, Albert Tei tidak layak dianggap sebagai pemberi maklumat sah selagi tidak membuat laporan rasmi kepada SPRM, namun input pendedahan beliau yang berpotensi mencemarkan nama baik pejabat Perdana Menteri mesti disiasat secara profesional, cepat dan terbuka.
“Saya turut melihat keputusan peletakan jawatan Shamsul Iskandar adalah tepat, walaupun keputusan itu sepatutnya dibuat lebih awal sebaik sahaja isu penyerahan surat sokongan kontraktor kepada pejabat Menteri Kesihatan terdedah kepada umum,” katanya kepada Sinar Harian.
Nada tegas turut hadir daripada peguam, Muhamad Haniff Khatri Abdulla yang mendesak Anwar memberikan jawapan segera terhadap kandungan klip video yang tular serta meletak jawatan Perdana Menteri serta-merta sekiranya dakwaan itu terbukti sahih.
“Jika benar rakaman dibuat atas restu Perdana Menteri, ia membuka ruang salah laku politik yang tidak boleh dipandang ringan.
“Dalam konteks persepsi awam, pertuduhan Albert Tei hakikatnya telah memberi implikasi negatif yang besar terhadap institusi Perdana Menteri sendiri,” katanya.
Masa pendedahan bermotif politik
Sementara itu, seorang pemimpin PKR tidak menolak kemungkinan wujud implikasi besar di sebalik kes pendedahan Albert Tei terhadap imej Anwar sebagai Perdana Menteri dan pengerusi Kerajaan Perpaduan.
Pengerusi PKR Perlis, Noor Amin Ahmad mengakui tuduhan berat sebegini pasti memberi kesan persepsi yang sukar dibendung, lebih-lebih lagi ketika sumber maklumat dikemukakan pendakwa masih terhad dan penuh spekulasi.
Bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Kangar itu berhujah terdapat banyak elemen meragukan melibatkan pihak yang membuat pendedahan.
“Bagi saya, waktu permasaan pertemuan Albert Tei dengan (bekas Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir (Mohamad) serta timing pendedahan kes Shamsul Iskandar menjelang hari pengundian PRN Sabah memberi petunjuk jelas ia bermotif politik.
“Selain itu, andaian kononnya Perdana Menteri cuba menjatuhkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada saat PKR hanya bertanding 10 kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) pada PRN negeri itu adalah tidak logik memandangkan Sabah kekal sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan,” ujarnya.
Dari luar PKR, suara paling lantang datang daripada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Zaid Ibrahim yang melihat skandal terbaru ini bukan sekadar mencalarkan imej Anwar, tetapi mampu meretakkan pakatan antara Pakatan Harapan (PH) dan sekutu-sekutu politiknya di Sabah.
“Pendedahan Albert Tei telah mengheret pejabat Perdana Menteri dan menimbulkan persoalan mengapa perlu wujud tekanan politik terhadap GRS?
“Dengan DAP dan PKR di Sabah kini melting, kontroversi terbaru ini menandakan keresahan dalaman PH yang semakin membarah.
“Bagi saya, PMX (Anwar) masih mampu meredakan keadaan melalui langkah drastik dengan meminta maaf kepada sekutu di Sabah serta menawarkan peletakan jawatan jika perlu,” jelasnya.
Hakikatnya, pendedahan Albert Tei itu mencetuskan serangan politik paling tajam terhadap institusi Perdana Menteri.
Lebih kompleks, skandal ini meletus pada saat kerajaan sedang berusaha mempamerkan pencapaian ekonomi selepas tiga tahun bergelut mendepani pelbagai krisis yang diwarisi.
Dengan Anwar mengambil langkah mitigasi pantas dengan memberi sepenuh ruang kepada SPRM untuk menyiasat pegawai kanannya sendiri, jawapan itu hakikatnya belum benar-benar memulihkan keyakinan umum. Dan dalam apa jua keadaan, ujian sebenar kepimpinan Anwar baru sahaja bermula.