Inkues Zara Qairina dijangka hingga tahun depan susulan guru dedah dokumen bertulis pelajar

Iklan
Allahyarham Zara Qairina

KOTA KINABALU - Inkues kematian Zara Qairina Mahathir, dijangka mengambil masa lebih panjang selepas pihak-pihak terlibat memutuskan untuk memanggil sekurang-kurangnya tujuh hingga lapan saksi tambahan, termasuk lima kanak-kanak dan beberapa guru yang didakwa mengetahui kewujudan dokumen bertulis berkaitan insiden 15 Julai lalu.

Keputusan itu dibuat selepas pendedahan mengejutkan oleh saksi ke-53, seorang guru di sekolah menengah agama tempat Zara Qairina bersekolah yang mendedahkan beberapa dokumen bertulis pelajar yang tidak pernah diserahkan kepada polis atau dimaklumkan kepada mahkamah.

Iklan
Iklan

Peguam Shahlan Jufri berkata, dokumen berkenaan mengandungi kenyataan bertulis pelajar yang melihat atau mendengar apa yang berlaku pada hari kejadian dan yang lebih memeranjatkan ia sebenarnya telah diketahui oleh beberapa guru lain yang sudah pun memberi keterangan di mahkamah.

“Yang mengejutkan lagi, dokumen-dokumen tersebut sebenarnya diketahui oleh beberapa orang cikgu yang telah dipanggil sebagai saksi di mahkamah. Namun tidak pernah timbul sehinggalah saksi ke-53 ini secara jujurnya mengeluarkan, mendedahkan dokumen tersebut yang disimpan di dalam fail unit disiplin sekolah.

Iklan

"Mengikut saksi tersebut, dokumen itu tidak pernah diserahkan kepada pihak polis atas alasan tidak mahu mengganggu siasatan polis," katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu di sini pada Rabu.

Katanya lagi, susulan pendedahan itu menyebabkan prosiding ditangguhkan seketika bagi membolehkan Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan meneliti dokumen tersebut.

Iklan

"Hakim Koroner ada membuat kenyataan yang dia amat terkejut dengan kewujudan dokumen tersebut dan mengarahkan dokumen tersebut disalin serta diperiksa oleh semua pihak terlibat," katanya.

Ekoran penemuan itu, perbincangan antara pihak-pihak berkepentingan dalam inkues memutuskan bahawa saksi-saksi tertentu perlu dipanggil semula, selain beberapa pelajar dan guru lain yang akan dipanggil buat pertama kali.

"Ada yang saksi baru, ada yang akan dipanggil semula. Lebih kurang lima kanak-kanak. Keseluruhannya jangkaan kami mungkin tujuh atau lapan saksi," katanya.

Mengulas mengenai perjalanan inkues, Shahlan menjelaskan mahkamah masih menjalankan prosiding inkues tersebut sehingga 5 Disember sebelum memberi laluan bagi prosiding pendakwaan lima remaja lain yang berkaitan dengan kes Zara Qairina.

"Saksi baharu yang dijadual hadir esok juga merupakan individu daripada unit disiplin yang berkemungkinan mengetahui mengenai dokumen tersebut.

"Sebelum pendedahan ini, jadual inkues menyasarkan tempoh sekitar seminggu untuk menamatkan baki saksi. Namun selepas perkembangan baharu, ia hampir pasti mengambil masa lebih panjang.

"Untuk saksi mengikut jadual asal, ada satu minggu lagi. Tapi kami percaya tidak akan habis dalam masa seminggu. Jadi mungkin akan bersambung ke tahun depan tetapi berharap akan selesai sebelum Ramadan tahun depan.

"Tapi kalau ada lagi elemen-elemen kejutan masa inkues berjalan, terpaksalah ambil kira sama ada mahu panggil saksi lain atau saksi baharu," katanya.