KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi mengesahkan status sekatan perjalanan khas yang masih berkuat kuasa terhadap Muhammad Riduan Abdullah atau sebelum ini dikenali K Pathmanathan.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, usaha mengesan Muhammad Riduan masih giat dilaksanakan.
Menurutnya, ini termasuklah siasatan lanjut terhadap dakwaan kewujudan individu yang disyaki menggunakan identiti tersebut bagi menerima bantuan kerajaan Budi Madani 95 (BUDI95) serta Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
"Masa sama, semakan juga dilaksanakan dengan kerjasama JIM bagi mengesahkan status sekatan perjalanan khas yang masih berkuat kuasa terhadap individu itu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, PDRM menegaskan komitmen untuk mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh serta akan terus pergiat usaba mengeaan keberadaan anak dan bekas suami kepada M Indira Gandhi.
Katanya, ini selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang dan penghormatan terhadap institusi kehakiman.
Tambahnya, sejak tahun 2021, sebanyak 18 sesi pengurusan kes telah diadakan di Mahkamah Tinggi Ipoh berkaitan perkara ini dan sesi pengurusan seterusnya ditetapkan pada 27 Februari tahun depan.
"PDRM menegaskan bahawa setiap tindakan yang diambil dalam mengendalikan kes ini dilaksanakan secara profesional, telus dan berintegriti demi memastikan keadilan ditegakkan mengikut lunas undang-undang," ujarnya.
Tegas beliau, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih sehingga menjejaskan proses siasatan.
"PDRM juga menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan keberadaan Muhammad Riduan untuk tampil membantu siasatan dengan menyalurkan di balai polis terdekat," ujarnya.
21 November lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh memerintahkan PDRM untuk memperluas pencarian Muhammad Riduan, yang didakwa gagal menyerahkan anak perempuan bongsunya kepada bekas isterinya Indira Gandhi.
Pada 2009, Muhammad Riduan menukar agama tiga anak mereka kepada Islam tanpa persetujuan Indira Gandhi dan memohon hak penjagaan melalui Mahkamah Syariah.
Pada 29 Januari 2018, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa penukaran agama ketiga-tiga anak kepada Indra Gandhi oleh bekas suaminya Muhammad Riduan adalah batal dan tidak sah.
Mahkamah Persekutuan juga mengarahkan Ketua Polis Negara menangkap Muhammad Riduan kerana mengingkari perintah Mahkamah Tinggi supaya menyerahkan anak perempuan bongsunya kepada bekas isterinya.