KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Pemuda Pas Terengganu tampil membuat laporan polis berhubung dakwaan pemberian wang dan suapan lebih RM600,000 membabitkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri.
Ketua Pemuda Pas Terengganu, Muhammad Hamdi Harun berkata, laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu jam 2.30 petang pada Rabu selepas pihaknya meneliti video serta kenyataan terbuka yang kini tersebar luas di media sosial.
Menurutnya, maklumat yang tular itu menunjukkan wujud asas kukuh terhadap siasatan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) memandangkan ia melibatkan pemberian dan penerimaan wang oleh individu yang memegang jawatan penting dalam Pejabat Perdana Menteri.
"Walaupun beliau telah meletakkan jawatan, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk menutup atau menghentikan siasatan terhadap mana-mana pihak yang berkaitan.
"Rakyat berhak mengetahui kebenaran dan siasatan mesti dijalankan sehingga ke peringkat tertinggi sekiranya terdapat penglibatan pihak yang memberi arahan atau menerima manfaat," katanya ketika ditemui di IPD Kuala Terengganu, di sini pada Rabu.
Jelas Muhammad Hamdi, Pas Terengganu konsisten menentang rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa serta menuntut tindakan tanpa pilih kasih.
"Kami menyahut seruan untuk membersihkan negara daripada budaya sakau dan korupsi.
"Pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan secara profesional dan mengikut lunas undang-undang tanpa campur tangan politik," katanya.
Sementara itu, Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu (DPPNT), Irsyad Syafiq Burhanuddin berkata, laporan polis tersebut dibuat atas rasa tanggungjawab sebagai rakyat yang mahukan integriti diangkat sebagai keutamaan.
"Kita tidak mahu sesiapa pun terlepas. Jawatan atau kedudukan bukan alasan. Amanah itu datangnya daripada rakyat dan mereka berhak mendapat penjelasan,"ujarnya.
Sebelum ini pada Selasa, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri susulan penularan video itu yang didakwa cuba mencalarkan imej Kerajaan Madani.