[DIKEMAS KINI] BANK Rakyat membuktikan komitmen terhadap agenda peralihan tenaga negara dengan melancarkan projek pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) bumbung di 84 buah cawangannya di seluruh Semenanjung Malaysia.
Pemasangan tersebut membentuk rangkaian penjanaan tenaga bersih teragih (Distributed Generation) terbesar dalam kalangan institusi kewangan tempatan dengan jumlah kapasiti terpasang sebanyak 2.3 megawatt-peak (MWp).
Projek terbabit merupakan hasil kerjasama strategik Bank Rakyat dan Cenergi SEA Berhad (Cenergi) di bawah Skim Pemeteran Tenaga Bersih (Net Energy Metering) yang telah menerima kelulusan kuota Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia.
Pemasangan sistem solar PV bumbung ini susulan daripada Perjanjian Pembekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE) yang telah ditandatangani antara Bank Rakyat dan Cenergi SEA.
Dalam kenyataan pada Rabu, Bank Rakyat berkata, pihaknya berbangga menjadi antara institusi kewangan terawal di Malaysia yang melaksanakan pemasangan solar PV bumbung berskala besar bagi menjana tenaga bersih untuk kegunaan sendiri.
“Projek ini membolehkan 84 cawangan Bank Rakyat di seluruh Semenanjung Malaysia menjana tenaga elektrik sendiri sekali gus mengurangkan kos elektrik serta menyokong usaha Bank Rakyat menuju kelestarian dan peralihan tenaga negara.
“Inisiatif ini juga merupakan satu langkah besar Bank Rakyat dalam menyokong Pelan Peralihan Tenaga Negara yang menyasarkan penjanaan tenaga boleh diperbaharui sebanyak 31 peratus menjelang 2025 dan 40 peratus menjelang 2030,” katanya.
Menerusi perjanjian dimeterai, Cenergi, anak syarikat UEM Lestra Berhad yang merupakan pemaju penyelesaian tenaga lestari terkemuka di Malaysia bertanggungjawab melabur, membina, mengoperasi dan menyelenggara sistem solar PV bumbung dan menjual tenaga solar yang terjana kepada Bank Rakyat untuk kegunaan sendiri.
Dengan rekod prestasi kukuh dan pengalaman dalam pelbagai projek tenaga boleh baharu dan kecekapan tenaga, Cenergi menawarkan sistem solar PV bumbung yang inovatif tanpa kos awal kepada syarikat komersial dan industri untuk membantu mengurangkan kos elektrik serta menyokong pelan kelestarian korporat.
Dalam pada itu, selain pemasangan solar PV, Bank Rakyat turut memperkenalkan kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV) di Menara Kembar Bank Rakyat sebagai salah satu langkah persediaan ke arah pensijilan Bangunan Hijau (Green Building Index)
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cenergi, Ir. Kwok Yew Hoe berkata, inisiatif tenaga boleh diperbaharui seperti Projek Solar PV Bumbung Bank Rakyat ini bukan sahaja mencerminkan komitmen korporat terhadap agenda kelestarian malah menjadi penanda aras bagi sektor komersial khususnya institusi kewangan dalam usaha mendekarbonisasikan operasi harian di Malaysia.
“Apabila institusi kewangan sebesar Bank Rakyat beralih kepada tenaga hijau, mesej yang disampaikan kepada pasaran adalah jelas iaitu penyelesaian rendah karbon kini menjadi sangat penting dalam keperluan strategik dalam operasi dan perniagaan moden,” katanya pada Majlis Pelancaran Projek Solar PV Bumbung Bank Rakyat di Mercu UEM baru-baru ini.
Jelas beliau, projek ini dijangka mengurangkan pembelian tenaga daripada grid sebanyak 3,000 MWh setahun serta menyumbang kepada pengurangan jejak karbon sebanyak 2,300 tan setahun.