JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor mengenakan kompaun berjumlah RM675,250 terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan seperti tidak meletakkan tanda harga serta menggunakan alat timbang sukat yang disahkan.
Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo berkata, sejak awal tahun ini, KPDN Johor telah mengesan sebanyak 1,671 kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011, termasuk 442 kes di bawah Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972.
“Bagi kes di bawah AKHAP 2011, nilai kompaun yang dikenakan adalah sebanyak RM561,050, manakala RM115,200 dikenakan bagi kes di bawah ATS 1972.
“Tindakan ini meliputi kesalahan seperti tidak mempamerkan tanda harga barangan jualan serta tidak menggunakan alat timbang yang sah untuk tujuan perniagaan.
“Statistik ini menunjukkan komitmen berterusan KPDN Johor dalam memantau dan memastikan peniaga mematuhi peraturan. Pematuhan undang-undang bukan sahaja satu kewajipan, malah merupakan pelaburan jangka panjang dalam membina kepercayaan pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena sesi Walkabout dan pelancaran Program Pasar Patuh (3P) Peringkat Negeri Johor di Pasar Awam Taman Perling di sini pada Rabu.
Tambah Lilis Saslinda, Program Pasar Patuh dijangka menjadi pemangkin kepada transformasi perdagangan negara ke arah ekosistem perniagaan yang berintegriti, telus dan mesra pengguna, melalui pelaksanaan secara berfasa serta sokongan berterusan daripada semua pihak.
Katanya, program ini diwujudkan bagi memperkukuh tahap pematuhan dalam kalangan peniaga pasar awam, dengan memberi tumpuan kepada penandaan harga yang jelas, penggunaan alat timbang yang tepat, serta persekitaran perniagaan yang bersih dan teratur.
“Bagi peringkat Negeri Johor, pelaksanaan rintis program ini bermula di Pasar Awam Taman Perling sebelum diperluas secara berperingkat ke seluruh negeri.
“Pasar Awam Taman Perling dipilih kerana merupakan tumpuan ramai dan mempunyai bilangan peniaga aktif yang tinggi, iaitu seramai 150 peniaga yang telah mengikuti sesi advokasi Pasar Patuh pada bulan Ogos lalu.
“Sejak sesi advokasi dijalankan, KPDN Johor belum menerima sebarang aduan salah laku peniaga di pasar tersebut, sekali gus menunjukkan peningkatan kesedaran dalam kalangan peniaga terhadap keperluan mematuhi undang-undang, menggalakkan persaingan sihat serta melindungi hak dan kepentingan pengguna,” ujarnya.
Sementara itu, Lilis Saslinda berkata, pendekatan tersebut turut menyokong hasrat kerajaan untuk memperkukuh keyakinan rakyat terhadap sistem perdagangan yang adil, beretika dan berdaya saing.
Menurutnya, pelaksanaan program itu mencerminkan komitmen kerjasama rentas agensi melibatkan kerajaan, industri dan pengguna dalam memastikan setiap inisiatif dilaksanakan secara menyeluruh serta memberi impak yang signifikan.
“Kerjasama strategik ini bukan sahaja memperkukuh keberkesanan penguatkuasaan, malah menzahirkan kesepaduan antara agensi dalam mempertingkat integriti dan tadbir urus perdagangan dalam negeri.
“Antara rakan strategik yang terlibat ialah Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Johor, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Johor dan Metrology Corporation Malaysia Sdn. Bhd.,” katanya.
Program Pasar Patuh juga akan berperanan sebagai platform pendidikan pengguna dan hebahan maklumat, dalam usaha menggalakkan pembabitan aktif masyarakat bagi memastikan perniagaan dijalankan secara telus dan beretika.