KOTA KINABALU - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menggunakan pentas kempen di negeri ini untuk menegaskan komitmen kerajaan terhadap agenda antirasuah.
Beliau yang berucap dalam bahasa Cina dilihat cuba mempertahankan imej antirasuah kerajaan semasa berkempen dalam satu majlis makan malam yang dianjurkan untuk calon DAP.
Katanya, parti itu tetap komited untuk memerangi rasuah dan peletakan jawatan Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin sebagai setiausaha politik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah kerana rasuah, sebaliknya mengaitkannya dengan isu surat sokongan dari tahun lepas.
"Kami tidak akan berkompromi dengan rasuah. Toleransi sifar, perlindungan sifar. Jadi hari ini, setiausaha politik kanan perdana menteri, Shamsul mengumumkan peletakan jawatannya.
"Dia tidak korupkan sesiapa pun. Dia hanya menghantar surat sokongan, mengatakan bahawa kontraktor ini harus mendapatkan kontrak hospital. Dia sendiri tidak ambil duit, tetapi dia sepatutnya tidak menghantar surat sokongan ini," katanya.
Kor Ming berkata, tindakan itu memberi isyarat jelas bahawa kerajaan tidak berkompromi dalam hal integriti.
"Ia mengganggu keseluruhan proses bidaan awam. Bila berhadapan dengan situasi sedemikian, dia juga terpaksa meletak jawatan.
"Ini mencerminkan bahawa perdana menteri, dari atas ke bawah, walaupun orangnya sendiri, beliau masih antirasuah," katanya.
Kor Ming dalam pada itu turut mendakwa, sesiapa sahaja dalam kerajaan yang terlibat dalam sebarang salah laku, mesti akan dipaksa meletakkan jawatan.