Penghuni pangsapuri Taman United terjejas tanah runtuh berpindah

Iklan
Keadaan terkini cerun yang runtuh di Pangsapuri Taman United, Kuala Lumpur pada Rabu.

KUALA LUMPUR – Semua penghuni di 52 unit rumah di Blok C, Pangsapuri Taman United, Seputeh di sini yang terjejas akibat tanah runtuh telah berpindah.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, daripada jumlah itu, tiga keluarga berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Komuniti Sri Petaling, manakala penghuni 27 unit rumah memaklumkan mereka memilih untuk berpindah ke rumah ahli keluarga atau hotel.

Iklan
Iklan
Aspek teknikal keselamatan sedang dinilai oleh pihak berkuasa tempatan sebelum arahan susulan diberikan kepada penduduk

“Baki rumah yang lain masih belum dikenal pasti identiti penghuni, namun disyaki merupakan warga asing,” katanya ketika dihubungi, pada Rabu.

Beliau berkata, polis juga telah menempatkan anggota di kawasan berkenaan bagi melakukan rondaan dan menjaga keselamatan rumah yang dikosongkan.

Iklan

Tambahnya, kawalan keselamatan diteruskan bagi mengelakkan pencerobohan serta risiko pecah rumah memandangkan kawasan itu kini dikosongkan sepenuhnya.

Kerja menstabilkan struktur tanah dijalankan serentak oleh pihak berkaitan.

“Anggota polis ditempatkan di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) yang didirikan di lokasi untuk merekodkan aktiviti serta memantau pergerakan trafik di kawasan tersebut memandangkan kerja pembersihan dan pemulihan sedang berjalan.

Iklan

“Kita juga perlu melakukan pemantauan keselamatan dan rondaan bagi memastikan semua unit kediaman serta harta benda penduduk yang telah berpindah tidak menjadi sasaran penjenayah seperti aktiviti pecah rumah,” ujarnya.

Beliau berkata, kerja menstabilkan struktur tanah dijalankan serentak oleh pihak berkaitan, termasuk pembersihan kawasan, penebangan pokok serta pemasangan kanvas di bahagian atas cerun.

“Langkah penutupan lapisan atas dengan pasir dilakukan bagi mengurangkan tekanan air hujan yang boleh menyebabkan keadaan menjadi lebih tidak stabil.

“Aspek teknikal keselamatan sedang dinilai oleh pihak berkuasa tempatan sebelum arahan susulan diberikan kepada penduduk,” katanya.

Dalam kejadian pada Isnin, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima laporan tanah runtuh pada jam 11.02 pagi, melibatkan runtuhan cerun di Jalan Sepadu 6.

Bagaimanapun, kejadian itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Berikutan itu, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Selangor dan Kuala Lumpur memaklumkan kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok bahawa runtuhan dinding penahan berkenaan disyaki berpunca daripada hakisan dan saluran air yang tersumbat.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian mendapati kerja-kerja penstabilan cerun sedang dijalankan.

Kawasan runtuhan itu juga ditutup menggunakan kanvas bagi mengelakkan runtuhan susulan.