USAHA kerajaan membawa pindaan undang-undang berkaitan nafkah ibu bapa uzur ke Dewan Rakyat pada Mac 2026 wajar dilihat sebagai langkah proaktif dan tepat pada masanya, lebih-lebih lagi ketika Malaysia menuju status negara tua menjelang 2030.
Ketika populasi warga emas meningkat, isu kebajikan ibu bapa tanpa pendapatan atau tidak berupaya perlu ditangani melalui peruntukan undang-undang jelas serta selari tuntutan syarak.
Sumber hukum menyatakan anak lelaki mahupun perempuan mempunyai tanggungjawab membantu ibu bapa yang fakir dan tidak mampu menyara diri.
Penjelasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa furu’ (anak-anak) wajib memberi nafkah kepada usul (bapa, ibu, datuk, nenek dan ke atas).
Bahkan ulama sepakat bahawa nafkah terhadap ibu bapa yang tidak berupaya merupakan kewajipan tidak boleh dipinggirkan.
Dalam beberapa mazhab, bahagian tanggungan anak-anak diatur mengikut kemampuan, sementara setengah pandangan lain menyesuaikannya dengan prinsip mirath. Intinya tetap sama iaitu semua anak turut memikul amanah.
Oleh itu, langkah kerajaan menyusun semula punca kuasa mahkamah syariah dan memperincikan undang-undang keluarga Islam adalah perkembangan positif.
Ia bukan sahaja memudahkan tuntutan nafkah diproses, malah memberi keyakinan kepada ibu bapa bahawa kebajikan mereka tidak terabai.
Penyelarasan melalui Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan (JPIK) dan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pula menunjukkan kesungguhan untuk memastikan keseragaman undang-undang di seluruh negeri.
Langkah ini juga menutup ruang kekaburan perundangan yang sebelum ini menimbulkan kekeliruan dalam sesetengah kes.
Dalam tempoh pindaan dimuktamadkan, advokasi melalui program keluarga serta hebahan media sangat penting kerana kesedaran masyarakat adalah kunci pelaksanaan berkesan.
Anak berjaya hari ini berdiri atas pengorbanan ibu bapa. Menyantuni mereka melalui nafkah sepatutnya menjadi budaya, bukan menunggu arahan mahkamah.
Pindaan ini hadir tepat pada waktunya, demi masa depan keluarga Malaysia yang lebih terjamin dan serta menzahirkan nilai kekeluargaan sejati.