KOTA KINABALU - Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan membidas gaya politik yang dibawa segelintir pemimpin parti lawan yang disifatkannya tidak sesuai dengan norma politik di Sabah.
Menurutnya, budaya politik yang kasar dan penuh serangan peribadi bukan sahaja tidak mencerminkan adab seorang pemimpin, malah bercanggah dengan nilai yang ingin dibentuk dalam kalangan masyarakat setempat.
"Saya pesan kepada Puad Zarkashi (Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi) dan ataupun mana-mana, gunalah bahasa-bahasa yang lebih beradab dan sopan.
"Kita ini pemimpin, menggunakan bahasa-bahasa yang sangat kesat, saya rasa saya sangat bertentangan dengan orang politik seumpama ini.
"Saya ingat dalam konteks beliau secara tepatnya, saya rasa budaya yang dibawanya adalah budaya politik Semenanjung, serangan-serangan peribadi. Saya di Sabah, saya rasa politik seumpama itu kita tolak.
"Pendekatan itu pendekatan yang terlalu ekstrem pada saya dan kita sedang mendidik masyarakat ke arah yang jauh daripada akhlak dan jauh daripada nilai," katanya ketika ditemui Sinar Harian semasa beliau mengadakan tinjauan mesra di Taman Sri Maju di sini pada Selasa.
Menjawab tuduhan Mohd Puad yang mengatakannya tidak berprinsip kerana tidak meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik semasa berlaku pengkhianatan terhadap PN, Aliakbar menegaskan pendiriannya kekal dan dibuat atas asas prinsip serta sejarah pembentukan kerajaan pada tahun 2020.
"Saya dengan pandangan saya kekal bersama dengan GRS atas sebab saya di antara yang menjadi teras pembentukan kerajaan PN tahun 2020.
"Tidak ada sebab untuk saya keluar dan sampai kepada saat akhir, tidak ada sebarang tindakan atas kes-kes rasuah, belum ada dijatuhkan hukuman. Bukan bermakna saya menyokong, tetapi mahkamah belum menjatuhkan.
"Maknanya secara prinsipnya, selagi mana tidak bersalah, kita pun tahu, tidak dijatuhkan hukuman, maka itu tidak bersalah," jelasnya.
Mohd Fuad dalam satu hantaran di Facebooknya menyelar tindakan Aliakbar sebelum ini menjadikan PN kelihatan hodoh dan tidak bermaruah susulan penjelasan tidak meletak jawatan sebagai ADUN dilantik.
Sementara itu, ditanya mengenai perjalanan kempen yang berbaki empat hari lagi, Timbalan Pengerusi PN Sabah itu melihat gerak kerja jentera di DUN Karambunai berada pada tahap yang memuaskan dengan capaian hampir ke semua kawasan pengundi.
"Pada saya, hampir semua lokaliti, bukan setakat pusat daerah mengundi (PDM), lokaliti di peringkat kampung-kampung sudah kami masuk dan kami sentuh.
"Saya nampak antara pembuat keputusan besar adalah pengundi. Trend pengundi di mana-mana pun, media sosial ataupun analisis akademik melihat, kali ini pemilih akan memilih kepada ketokohan dan personaliti, sudah tidak terikat dengan parti dan saya rasa saya secara peribadi sudah melaksanakan tugas kepada masyarakat.
"Kalau itulah sebagai penilaian, saya rasa saya mungkin menjadi di antara tokoh-tokoh penting dalam siri 29 November nanti," katanya yang bakal bersaing dengan 10 lagi calon di DUN Karambunai.