SHAH ALAM – Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), yang telah dilaksanakan lebih 30 tahun bagi membantu isi rumah berpendapatan rendah, telah melalui penjenamaan semula kepada Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) mulai 1 Oktober 2024.
Penjenamaan semula itu memperkenalkan standard baharu yang lebih komprehensif merangkumi saiz rumah, kadar bantuan dan kualiti binaan.
Selaras dengan transformasi tersebut, Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) menumpukan pelaporan prestasi kepada tempoh 2023 hingga kini, iaitu fasa yang menyaksikan peralihan program kepada model PPRS.
Dalam tempoh ini, sebanyak RM1.273 bilion telah diperuntukkan bagi pembinaan dan baik pulih kediaman rakyat berpendapatan rendah di seluruh negara.
Langkah ini mencerminkan komitmen berterusan KKDW dalam meningkatkan kualiti hidup keluarga yang memerlukan sokongan perumahan sejak 2023.
“Sebanyak RM460.2 juta diperuntukkan pada 2023 untuk melaksanakan 15,634 unit rumah PPRT yang meliputi 3,118 unit Bina Baharu dan 12,738 unit Baik Pulih di seluruh Malaysia, manakala bagi Sabah pula RM130 juta.
“Pada 2024, RM448.4 juta diperuntukkan untuk pembinaan 2,835 unit rumah Bina Baharu dan 10,943 unit Baik Pulih di seluruh negara di mana Sabah juga menerima RM130 juta.
“Kerajaan meneruskan agenda kesejahteraan rakyat dengan memperuntukkan RM364.45 juta pada 2025 bagi 10,003 unit rumah PPRS yang meliputi 2,250 unit Bina Baharu dan 7,753 unit Baik Pulih,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Tambahnya lagi, pada 2025 sahaja, Sabah menerima RM136.02 juta untuk membina 852 unit rumah baharu dan membaik pulih 2,729 unit rumah, menjadikannya negeri yang mempunyai jumlah pelaksanaan terbesar di bawah PPRS.
mencerminkan iltizam kerajaan untuk memastikan rakyat berpendapatan rendah di Sabah dapat menikmati kediaman yang lebih berkualiti serta peluang hidup yang lebih sejahtera.
“Ia juga didorong oleh beberapa faktor lain termasuk taburan penempatan luar bandar yang luas, jumlah rumah daif dan keperluan pembangunan di kawasan pedalaman.
“Secara keseluruhannya, PPRS bukti komitmen KKDW pembentukan komuniti yang selamat dan sejahtera.
dalam menyediakan kediaman yang selesa, selamat dan berkualiti kepada golongan yang paling memerlukan, sekali gus menyokong pembentukan komuniti luar bandar yang lebih stabil dan sejahtera.
“Program ini selaras aspirasi Malaysia Madani untuk memastikan rakyat luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara,” jelas KKDW.
Penjenamaan semula
Menyentuh tentang penjenamaan semula, kementerian memberitahu, ia bukan sekadar perubahan nama tetapi melibatkan tiga penambahbaikan utama antaranya peningkatan saiz rumah dari 660 kaki persegi kepada 680 kaki persegi.
Tidak terhenti setakat itu, peningkatan kadar bantuan dari RM66,000 kepada RM79,000 seunit di Semenanjung Malaysia manakala RM79,000 kepada RM85,000 seunit untuk Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan.
“Kadar baik pulih pula ditingkatkan kepada RM20,000 seunit bagi seluruh Malaysia.
“Yang terakhir adalah susun atur baharu yang membolehkan rumah dibina secara melintang atau menegak serta berkonsepkan mesra syariah,” ujar kementerian itu.
REAKSI:
“Sebagai penerima PPRS dan balu empat orang anak, saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga buat KKDW kerana memberikan rumah impian kami. Sebelum ini memang sangat susah, tapi Alhamdulillah pada Oktober, kami dapat kunci rumah dan sumbangan daripada kerajaan.” – Suri rumah, Kasimah Mukhsan.
“Ribuan terima kasih kepada KKDW kerana memberikan sebuah rumah PPRS yang bagi saya sangat selesa. Kepada pemohon di luar sana, jangan malu untuk memohon rumah PPRS.” – Suri rumah, Ritah Suanti.