SHAH ALAM – Kerajaan digesa melaksanakan penguatkuasaan sektor e-hailing di seluruh Sabah bagi mengatasi ketidakselarasan dasar antara wilayah.
Setiausaha Persatuan Penghantar dan Penghantar E-Hailing Sabah (PENS), Muhammad Rujhan Ahmad berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing (EHO) yang beroperasi tanpa mematuhi lesen, syarat dan peruntukan undang-undang ditetapkan kerajaan.
“PENS merujuk kepada kenyataan media Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah yang disiarkan melalui Sinar Harian pada 20 Mei berhubung dua EHO dari Rusia, iaitu ‘arahan henti tidak terpakai automatik di Sabah’.
“Kenyataan sedemikian mewujudkan kekeliruan antara dasar penguatkuasaan persekutuan dan negeri.
“PENS menegaskan bahawa isu ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia menunjukkan ketidakpatuhan terhadap perundangan, selain mewujudkan risiko keselamatan, kebajikan dan perlindungan pemandu e-hailing serta pengguna di Sabah,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini, LPKP Sabah memaklumkan bahawa arahan pemberhentian operasi dua syarikat e-hailing dari Rusia pada 24 Julai lalu tidak terpakai secara automatik di Sabah berikutan perbezaan bidang kuasa kawal selia.
Ujar Muhammad Rujhan, satu sesi libat urus perlu diadakan segera bersama pemegang taruh utama termasuk Kementerian Pengangkutan (MoT), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), LPKP Sabah, EHO dan persatuan pemandu e-hailing bagi membincangkan isu berkenaan.
“PENS turut menggesa semua pihak yang berjanji untuk menjaga kepentingan dan kebajikan pemandu e-hailing sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah agar tampil bersama PENS mendesak kerajaan menyelesaikan isu ini dengan segera demi keselamatan dan kelangsungan pendapatan pemandu di Sabah.
“Pemandu dan pengguna perlu dilindungi daripada sebarang risiko yang berpunca daripada ketidakselarasan dasar antara wilayah,” ujarnya.
Menurutnya, PENS mengambil maklum berhubung ketidaksamaan pelarasan serta penguatkuasaan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) antara LPKP Sabah dan APAD, khususnya melibatkan sektor e-hailing.
“Perkara ini turut mengambil kira perkembangan dan kekeliruan yang timbul susulan isu melibatkan dua syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing pada Mei 2025 yang lalu, di mana ketegasan penguatkuasaan di Semenanjung Malaysia tidak selari dengan pendirian yang diambil di Sabah,” kata beliau.