PUTRAJAYA - Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) membatalkan pendaftaran lesen 40 buah vesel penangkapan ikan di Johor.
Langkah tegas ini selaras dengan syor Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) untuk mempertimbangkan pembatalan lesen vesel yang diperoleh melalui prosedur yang tidak teratur.
DOF dalam kenyataan berkata, keputusan pembatalan ini berdasarkan Mesyuarat Khas Penilaian Teknikal Vesel Penangkapan Ikan Zon C dan Zon C2 bertarikh 7 Julai lalu.
"Selain tindakan pembatalan lesen, tindakan susulan berkaitan integriti dan ketidakpatuhan prosedur turut dipertingkatkan.
"Hasil siasatan telah dirujuk kepada Pihak Berkuasa Tatatertib DOF untuk tindakan selanjutnya terhadap pegawai yang terlibat dan syor tindakan tatatertib akan dipertimbangkan ke atas pegawai yang melakukan kesalahan tidak bertanggungjawab, ingkar perintah serta cuai dalam melaksanakan tugas," kata kenyataan itu pada Selasa.
Tambah kenyataan itu, DOF menegaskan bahawa integriti, pematuhan prosedur dan dasar pelesenan merupakan asas utama tadbir urus jabatan dan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku, ketidakpatuhan atau unsur jenayah termasuk pemalsuan dokumen.
Jelas kenyataan itu, DOF juga komited melaksanakan semua syor penambahbaikan tadbir urus yang dikemukakan oleh EAIC.
"Ini termasuk menyediakan garis panduan permohonan ubah suai vesel melebihi 20 peratus, menambah baik sistem pengurusan fail di Pejabat Perikanan Negeri, menetapkan had lesen perikanan atau vesel bagi setiap syarikat dan menambah baik sistem e-Lesen," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, segala langkah ini bertujuan memastikan proses pelesenan perikanan dilaksanakan dengan penuh integriti, telus dan mematuhi undang-undang demi melindungi industri perikanan negara serta menjamin kelestarian sumber marin.
Pada Isnin, EAIC dalam kenyataan dilaporkan berkata, pihaknya telah menyiasat pegawai-pegawai DOF Johor, Kedah, Terengganu, Kelantan, Pahang dan Ibu Pejabat bagi meneliti pematuhan prosedur dan dasar pelesenan DOF dalam kelulusan 54 lesen perikanan kepada dua buah syarikat.
Siasatan ini dijalankan berdasarkan kepada Seksyen 28 Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].
Hasil siasatan EAIC mendapati berlaku ketidakpatuhan terhadap prosedur dan dasar pelesenan DOF dalam proses permohonan dan kelulusan bagi 54 vesel milik dua buah syarikat yang terlibat selain wujud unsur jenayah pemalsuan atau menggunakan dokumen palsu sebagai tulen yang boleh disiasat di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan [Akta 574].