Lima pemancing hilang selepas bot terbalik ditemui di sangkar ikan

Iklan
Bot fiber terbalik.

KLANG - [DIKEMAS KINI] Lima pemancing yang dilaporkan hilang selepas bot fiber dinaiki mereka terbalik akibat cuaca buruk akhirnya ditemui selamat di sangkar ikan berhampiran Pulau Ketam pada Isnin.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, insiden berlaku selepas kumpulan itu keluar menangkap ikan pada Ahad, sebelum mereka dilaporkan tidak pulang ke pangkalan dan gagal untuk dihubungi.

Iklan
Iklan

"Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor menerima laporan awal daripada seorang ahli keluarga mangsa yang memaklumkan kehilangan bot berkenaan.

“Pada jam 12.50 tengah hari Isnin, komuniti maritim melaporkan penemuan sebuah bot fiber terbalik kira-kira 1.5 batu nautika barat daya Pulau Ketam, dipercayai bot dinaiki lima mangsa tersebut," katanya.

Iklan

Abdul Muhaimin berkata, susulan itu dua aset Maritim Malaysia digerakkan ke lokasi untuk pencarian awal.

"Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru kemudiannya telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) pada jam 1 petang.

Iklan

"Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) telah ditubuhkan di jeti nelayan Kampung Telok Nipah, Pelabuhan Klang," katanya.

Mangsa di bawa ke HTAR untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, pada jam 4.47 petang, Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor menerima maklumat daripada seorang individu yang dikenali sebagai Anuar memaklumkan lima mangsa telah ditemui di sangkar ikan di perairan Pulau Ketam.

"Kesemua mangsa yang terdiri daripada empat warga tempatan dan seorang warga Indonesia berusia 23 hingga 57 tahun dalam keadaan selamat.

"Kelima-lima mangsa telah dibawa ke jeti nelayan Kampung Telok Nipah dengan bot Penggalang 31 dan telah selamat tiba pada pukul 5.50 petang," katanya.

Beliau berkata, dua mangsa mengalami kecederaan di kaki akibat disengat ikan.

"Salah seorang mangsa memaklumkan kepada anggota penyelamat, insiden tersebut berlaku apabila bot dinaiki mereka terbalik kerana cuaca buruk dan mereka berenang ke sangkar ikan berhampiran bagi menyelamatkan diri," katanya.

Abdul Muhaimin berkata, kesemua mereka telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) untuk tindakan lanjut dan Operasi Carilamat telah ditamatkan pada jam 6.30 petang.

"Maritim Malaysia sekali lagi mengingatkan kepada orang awam supaya mengutamakan aspek keselamatan ketika melakukan aktiviti di laut.

"Penggunaan jaket keselamatan dan pemantauan cuaca semasa amat penting semasa berada di laut," katanya.