PRN Sabah: SPR terima 472 laporan kesalahan kecil kempen

Iklan
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 November ini sebagai hari pengundian. - Foto Bernama

TAWAU - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima 472 laporan berkaitan kesalahan-kesalahan kecil semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 setakat Isnin.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, kesalahan yang dilaporkan oleh pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya itu membabitkan bahan-bahan kempen termasuk ceramah tanpa permit.

Iklan
Iklan

"Perkara ini telah dimaklumkan kepada kita dan tindakan susulan akan diambil,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Pusat Pengundian Awal di Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau di sini pada Selasa.

Ramlan turut berharap, tiada lagi pengundi mengambil gambar kertas undi semasa berada di dewan mengundi dan memuat naik imej berkenaan di media sosial.

Iklan

"Kita harap tiada lagi kes seumpama itu. Langkah telah diambil termasuk menyediakan tempat untuk pengundi meletakkan telefon sementara ketika masuk dewan mengundi.

"Pegawai bertugas akan memantau dan memastikan tiada pengundi mengambil gambar ketika memangkah undi,” tambahnya.

Iklan

Selain itu, Ramlan berkata, SPR bersedia sepenuhnya menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku banjir pada hari pengundian 29 November ini.

"Kita akan pastikan proses pengundian berjalan lancar dengan mengambil prosedur operasi standard termasuk merujuk Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri untuk panduan dan bantuan,” katanya.

Sabtu ini merupakan hari pengundian PRN Sabah ke-17, dengan seramai 1.76 juta pengundi biasa layak mengundi.

Untuk berita terkini PRN Sabah, layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php - Bernama