Suspek mati ditembak ketua sindiket samun, rekod 19 kes kerugian RM2.53 juta

Iklan
Kumar (dua dari kanan) menunjukkan pistol yang dirampas selepas kejadian berbalas tembakan suspek dengan pasukan polis di Jalan Banting - Dengkil, Sepang.

SEPANG - Lelaki yang mati ditembak di Jalan Batu 8, Jalan Banting-Dengkil di sini dipercayai merupakan ketua sindiket samun yang aktif sejak tahun 2022 yang menyasarkan rumah, kilang dan tapak projek.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kumpulan suspek aktif dan agresif melakukan jenayah samun di Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kumpulan suspek mempunyai kira-kira 10 ahli dan rakan sejenayah dan usaha sedang dijalankan bagi mengesan saki baki mereka.

"Kumpulan ini menyasarkan rumah kediaman, tapak projek, kilang e-waste dengan bersenjatakan pistol, parang dan batang besi.

Iklan

"Sindiket ini juga akan mencabut dan merosakkan dekoder rakaman kamera litar tertutup (CCTV) selain memakai topeng muka, bersarung tangan ketika melakukan jenayah serta tidak teragak-agak untuk mencederakan mangsa jika diancam," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini pada Selasa.

Beliau berkata, terdapat 17 kes di Selangor dan satu kes masing-masing di Negeri Sembilan dan Melaka dengan kerugian mencecah RM2.53 juta.

Iklan

Mengulas mengenai identiti suspek, tambah Kumar, suspek berusia 30 tahun telah dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam tanpa kehadirannya pada 19 November lalu bagi kes di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Kumar menunjukkan kenderaan yang digunakan suspek dalam insiden berbalas tembakan dengan polis di Jalan Banting - Dengkil, Sepang.

Katanya, mahkamah telah mengenakan tindakan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) terhadap suspek sebelum waran tangkap dikeluarkan.

"Suspek berasal dari Sepang, Selangor mempunyai 10 rekod jenayah lampau bersabit kes samun berkumpulan, mendatangkan kecederaan, pecah rumah dan merusuh.

"Suspek juga mempunyai rekod dikehendaki dalam dua kes samun stor penyimpanan barang tapak projek di Sepang tahun lepas," ujarnya.

Tegas beliau, kejayaan menumpaskan penjenayah tersebut hasil operasi mengesan dan mencegah kejadian samun di sekitar Banting, Dengkil serta Sepang yang dilaksanakan sejak awal bulan ini.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan, suspek telah memecut laju kenderaan jenis Perodua Myvi yang dipandunya selepas diarah berhenti oleh sepasukan Bahagian D9 JSJ Bukit Aman di Jalan Banting-Dengkil pada Isnin.

Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

Operasi kira-kira jam 8.10 malam dengan dibantu Cawangan Khas Bukit Aman dan JSJ Selangor telah mengejar suspek sejauh kira-kira 3 kilometer sebelum berlaku perlanggaran.

Suspek kemudian melepaskan beberapa tembakan ke arah polis sebelum pasukan operasi membalas tembakan.

Suspek disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pemeriksaan dalam kenderaan suspek menemui sepucuk pistol jenis Remington Rand.45, tiga butir peluru jenama Kynoch kaliber.45 dan tujuh paket plastik lut sinar mengandungi serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu.

Tegas Kumar, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 serta Seskyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.