'Terima kasih Sinar Harian' - Azam Baki

Iklan
Azam (kiri) menunjukkan paparan akhbar muka depan Sinar Harian yang dibingkaikan sebagai tanda penghargaan.

PUTRAJAYA - Laporan muka depan Sinar Harian bertajuk 'SPRM Tunjuk Taring' mendapat perhatian Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki apabila keratan akhbar itu dibingkaikan sebagai tanda penghargaan.

Laporan itu disiarkan pada 10 September lalu melibatkan lapan kes mega yang disiasat oleh suruhanjaya terbabit.

Iklan
Iklan

Antaranya siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; kes aset Tun Dr Mahathir Mohamad; penahanan pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur; skandal projek Lebuhraya MEX II dan ahli perniagaan, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Menurut Azam, hubungan dan kerjasama antara agensi penguat kuasa dengan pihak media merupakan elemen penting dalam memastikan setiap tindakan dan usaha yang dilaksanakan dapat disampaikan secara tepat dan segera kepada masyarakat.

Iklan

"Hubungan baik yang terjalin antara SPRM dengan media khususnya Sinar Harian ialah contoh kerjasama strategik yang saling melengkapi antara kedua-dua entiti.

“Saya berharap kerjasama erat yang telah lama terjalin ini akan dapat diperkukuhkan lagi.

Iklan

"Saya juga mengucapkan terima kasih atas sokongan dan kerjasama yang ditunjukkan oleh pihak media terutama Sinar Harian kepada SPRM selama ini,” katanya.

Azam berkata, koordinasi yang dijalinkan melalui Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) bukan sahaja terbentuk secara formal, malah turut diperkukuh melalui hubungan tidak rasmi seperti aktiviti sukan, riadah dan perbincangan luar pejabat.

Jelasnya, komunikasi berterusan ialah formula utama yang menjadikan kerjasama antara SPRM dan media berjalan dengan baik serta berstrategik.

"Tanpa komunikasi yang konsisten, kedua-dua pihak berisiko gagal menyampaikan maklumat yang sahih kepada masyarakat.

“Semoga model ini dapat menjadi ikutan dan berupaya menjadi pemangkin kepada setiap agensi kerajaan dalam usaha menyebarluaskan agenda masing-masing kepada masyarakat,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar agensi kerajaan lebih proaktif dan bersedia mengubah orientasi dalam berhubungan dengan pihak media.

“Kita kena senantiasa punya keinginan dan tekad untuk berubah. Mungkin apa yang dilaksanakan tiga tahun lepas sudah tidak relevan pada masa sekarang, dan hebahan ini perlu dilaksanakan melalui bantuan media,” jelasnya.